OPR kekal 1.75 peratus - Utusan Malaysia

OPR kekal 1.75 peratus

BNM arah dua bank alami gangguan perkhidmatan beri penjelasan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia dalam mesyuaratnya semalam memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.

BNM dalam kenyataan berkata, MPC menyifatkan pendirian semasa dasar monetari adalah wajar dan akomodatif.

Katanya, langkah-langkah fiskal dan kewangan akan terus mengurangkan kesan ekonomi terhadap perniagaan dan isi rumah serta memberikan sokongan kepada kegiatan ekonomi.

“Pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data baharu serta kesannya kepada prospek keseluruhan
inflasi dan pertumbuhan dalam negeri,” katanya.

Menurut bank pusat itu, pertumbuhan ekonomi global terus pulih, disokong oleh aktiviti perkilangan
dan perdagangan. Keadaan pasaran pekerja juga telah bertambah baik di banyak negara.

Walau bagaimanapun katanya, beberapa negara melaksanakan semula langkah-langkah untuk mengekang penularan semula Covid-19 yang sedang berlaku. Hal itu menyebabkan kadar pemulihan aktiviti dalam negara terutamanya perkhidmatan menjadi sederhana sedikit.

Jelasnya, prospek pertumbuhan global akan terus dipengaruhi oleh ketidakpastian berhubung dengan kemunculan varian baharu yang membimbangkan, risiko gangguan bekalan global yang berlanjutan dan risiko volatiliti pasaran kewangan yang ketara berikutan pelarasan dasar monetari ekonomi utama.

“Bagi Malaysia, penunjuk berfrekuensi tinggi yang terkini menunjukkan bahawa kegiatan ekonomi kembali pulih pada suku keempat, sejajar dengan pelonggaran langkah-langkah pembendungan.

“Bagi 2021, pertumbuhan akan berada dalam julat unjuran 3 hingga 4 peratus. Momentum pertumbuhan dijangka semakin meningkat pada 2022. Peningkatan ini dipacu oleh pengembangan permintaan global dan perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi berikutan pasaran pekerja yang bertambah baik dan sokongan dasar yang berterusan.

“Walau bagaimanapun, prospek risiko terhadap pertumbuhan terus cenderung ke arah pertumbuhan yang lebih
perlahan. Risiko-risiko ini mungkin muncul daripada pertumbuhan global yang lebih rendah daripada jangkaan, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk dan kemunculan varian COVID-19 yang membimbangkan, serius dan kebal vaksin,” katanya.

Tambah BNM, inflasi keseluruhan mencatatkan purata sebanyak 2.3 peratus dari Januari hingga November 2021, manakala bagi 2022, inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana apabila kesan asas daripada inflasi bahan api luput.

Jelasnya, inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka meningkat sedikit apabila kegiatan ekonomi kembali normal dalam keadaan persekitaran kos yang tinggi.

“Walau bagaimanapun, inflasi teras dijangka sederhana dengan risiko pertumbuhan menjadi semakin tinggi dibendung oleh keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi dan dalam pasaran pekerja. Namun
begitu, prospek terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global berikutan risiko daripada gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN