WILMINGTON: Seorang pemegang saham Tesla Inc menggesa mahkamah memerintahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu, Elon Musk untuk memulangkan sahamnya dianggarkan bernilai AS$13 bilion (RM54.5 bilion) bersabit kes SolarCity pada 2016.
Tuntutan itu dikemukakan oleh Lee Rudy di hadapan Hakim Joseph Slights dalam perbicaraan kes pembelian SolarCity oleh Tesla, dengan Musk didakwa merupakan pemegang saham utama.
Sekiranya berjaya, penghakiman tersebut disifatkan yang terbesar dalam sejarah.
“Kes ini mengenai sama ada pemerolehan SolarCity yang berdepan masalah kewangan, adalah penyelamat didalangi oleh Elon Musk,” hujah peguam Randy Baron yang mewakili Rudy, dalam perbicaraan yang diadakan secara maya.
Tuntutan oleh dana pencen kesatuan dan pengurus aset syarikat itu mendakwa, Musk yang mengetuai Lembaga Pengarah Tesla telah meluluskan perjanjian untuk pembelian SolarCity yang berdepan masalah kekurangan aliran tunai di mana Musk adalah pemegang saham utama.
Bagaimanapun, Musk dalam pembelaannya berkata, perjanjian itu adalah sebahagian daripada pelan induk selama sedekad Tesla untuk mewujudkan sebuah syarikat bersepadu yang akan mengubah penjanaan dan penggunaan tenaga menggunakan panel bumbung dihasilkan SolarCity sementara kereta dan bateri dikeluarkan oleh Tesla.
Peguam Musk, Evan Chesler dalam hujahnya pula memberitahu, perjanjian itu bukan penyelamat kerana SolarCity jauh daripada muflis dengan kedudukan kewangannya menyamai banyak syarikat berteknologi tinggi.
“Mereka membina nilai berbilion dolar dalam jangka panjang,” kata Chesler mengenai SolarCity.
Perjanjian pembelian saham syarikat itu bernilai AS$2.6 bilion (RM10.9 bilion) pada 2016, dan sejak itu saham Tesla telah melonjak.
Dalam kenyataannya, Rudy berkata, mahkamah harus mempertimbangkan tindakan Musk sepanjang perbicaraan kes tersebut di mana beliau berulang kali bertelagah dan menghina peguam plaintif.
“Ia akan menjadi rezeki untuk Elon Musk jika dia dapat menyimpan saham yang tidak sepatutnya diperolehnya sejak awal,” kata Rudy.
Sementara itu, Chesler menyifatkan permohonan untuk mengarahkan Musk memulangkan saham daripada perjanjian itu “tidak masuk akal” dan berkata ia mengabaikan lima tahun kejayaan yang belum pernah terjadi sebelumnya di Tesla.
Saham Tesla turun 1 peratus pada sekitar AS$1,040 (RM4,359.7)pada sesi dagangan petang kelmarin.
Tesla memperoleh SolarCity ketika pembuat kenderaan elektrik itu menghampiri pelancaran Model 3, kereta sedan dengan pasaran besar-besaran yang penting untuk strateginya.
Pemegang saham mendakwa perjanjian itu tidak perlu dan membebankan Tesla dengan masalah kewangan dan hutang SolarCity. – AGENSI










