Misi kebersihan Dettol bantu 100,000 pelajar bentuk tabiat membasuh tangan secara sihat - Utusan Malaysia

Misi kebersihan Dettol bantu 100,000 pelajar bentuk tabiat membasuh tangan secara sihat

Dettol turut melantik Dr. Say Shazril sebagai duta untuk membantu mendidik orang ramai mengenai amalan kebersihan yang baik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dettol Malaysia melancarkan kempen kesedaran awam bertema `Dettol Purpose Programme 2022′ dengan sokongan serta kerjasama Kementerian Pendidikan yang menyasarkan 100,000 pelajar
berumur antara tujuh hingga sembilan tahun.

Menurut Dettol, membentuk sebahagian daripada inisiatif Hidup Sihat, Malaysia Hebat, program sekolah ini akan dilancarkan di lebih 400 buah sekolah rendah di seluruh negara mulai 17 Januari lalu.

Jelasnya, ia bermatlamat untuk mendidik pelajar daripada darjah satu hingga tiga agar mengamalkan serta mengekalkan tabiat kebersihan yang sihat sejak daripada usia muda.

Menurut Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta, Malaysia (FPMPAM) dan Pengerusi bagi program perkongsian Pendidikan Awam FPMPAM/Dettol, Dr. Steven KW Chow, adalah sangat penting untuk menerapkan amalan mencuci tangan yang betul dan menjaga kebersihan sebagai sebahagian daripada latihan rutin untuk semua
pelajar.

“Ini adalah langkah pencegahan asas yang paling kos efektif dan harus diamalkan seawal mungkin untuk semua kanak-kanak sekolah rendah,” katanya dalam kenyataan.

Kata beliau, peringkat awal kanak-kanak adalah tempoh pembentukan di mana tabiat sihat terbentuk, termasuk amalan kebersihan yang baik.

Jelasnya, inisiatif Dettol Purpose Programme, yang telah dibina untuk memacu perubahan tingkah laku dan mewujudkan tabiat kebersihan yang berkekalan berhasrat untuk melaksanakan siri sesi pendidikan yang menyasarkan peringkat perkembangan kognitif kanak-kanak bagi meningkatkan pengetahuan mereka di samping memupuk amalan kebersihan tangan.

Pengurus Besar Serantau Reckitt Malaysia, Singapura dan Vietnam, Gonzalo Balcazar pula berkata, kanak-kanak adalah agen perubahan yang berpengaruh dengan kuasa pujukan mereka bagi menyampaikan mesej kepada ibu bapa mereka serta komuniti yang lebih luas.

“Dengan sokongan dan penglibatan pihak yang betul, kami boleh meningkatkan perkembangan kanak-kanak secara signifikan, membantu mereka membentuk, mempelajari dan memupuk amalan harian yang kami harap akan menjadi perubahan kebiasaan yang kekal,” katanya.

Melalui inisiatif ini, Dettol akan memperkenalkan Hygiene Quest, satu rangkaian modul kurikulum yang menggunakan episod animasi singkat, komik, pelan pelajaran serta pelbagai aktiviti yang berkisar mengenai pengembaraan empat watak wira bagi menyampaikan objektif pembelajaran.

Kursus komprehensif ini telah dibangunkan oleh rakan kongsi pendidikan global terkemuka dan turut melibatkan rangka kerja pengukuran untuk memberikan impak maksimum.

Dettol turut melantik Dr. Say Shazril sebagai duta untuk membantu mendidik orang ramai yang lebih luas mengenai kepentingan amalan kebersihan yang baik dan berperanan sebagai penyokong bagi kanak-kanak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×