SYDNEY: Pasaran saham Asia berbolak-balik semalam apabila sekumpulan data ekonomi China mengesahkan kesan negatif sekatan akibat Covid-19 kepada perbelanjaan pengguna, mendesak Beijing untuk sekali lagi melonggarkan dasar monetarinya.
Hari cuti di Amerika Syarikat (AS) mengurangkan jumlah dagangan namun ia tidak menghalang niaga hadapan Perbendaharaan menyusut dan minyak mentah Brent mencecah harga tertinggi dalam tiga tahun pada AS$86.71 (RM362.73) setong.
Membimbangkan untuk ekonomi kedua terbesar dunia itu, jualan runcit hanya meningkat 1.7 peratus tahun ke tahun pada Disember, berbanding jangkaan 3.7 peratus.
Prestasi output industri lebih baik dan ekonomi secara keseluruhannya tumbuh sedikit lebih berbanding jangkaan pada empat peratus dalam suku keempat.
Bank pusat China turut mengejutkan apabila memotong beberapa kadar pinjaman utama sehingga 10 mata asas (bps).
Ahli ekonomi kanan di Union Bancaire Privee, Hong Kong, Carlos Casanova berkata, pemotongan itu lebih besar berbanding jangkaan, menggambarkan pihak berkuasa lebih terganggu dengan kelemahan ekonomi.
“Risiko Omicron hanya akan dilihat sepenuhnya dalam data gabungan Januari dan Februari, memandangkan sekatan pergerakan paling ketat bermula pada lewat Disember,” katanya.
Pelonggaran itu dilihat membantu saham cip biru China yang menokok 0.4 peratus selepas data dikeluarkan.
Indeks terlebar Asia Pasifik MSCI di luar Jepun menyusut 0.2 peratus sementara Nikkei Jepun melonjak 0.8 peratus selepas kehilangan 1.2 peratus minggu lalu.
Niaga hadapan Nasdaq jatuh 0.4 peratus lagi sementara niaga hadapan S&P 500 kehilangan 0.2 peratus. Niaga hadapan EUROSTOXX 50 naik 0.3 peratus dan niaga hadapan FTSE tidak berubah.
Ciri utama pasaran dalam tempoh terdekat ini ialah pusingan ke dalam saham bernilai dan jauh daripada pertumbuhan, terutamanya teknologi.Sektor teknologi maklumat S&P 500, yang merangkumi hampir 29 peratus daripada keseluruhan indeks, jatuh 5.5 peratus tahun ini.
Dengan penilaian yang kekal tinggi, pendapatannya harus kukuh bagi menghalang kerugian seterusnya. Secara keseluruhannya, pendapatan S&P 500 dijangka meningkat 23.1 peratus musim ini, menurut Refinitiv IBES, sementara sektor teknologi dijangka meningkat 15.6 peratus. – UTUSAN










