Melaka bakal jadi pengeluar tunggal Melamina di Asia Tenggara - Utusan Malaysia

Melaka bakal jadi pengeluar tunggal Melamina di Asia Tenggara

MOHD. YUSRI MOHAMED YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) bakal membina loji melamina berkapasiti 60,000 tan setahun di Gurun, Kedah, sekali gus menjadikannya pengeluar tunggal melamina di Asia Tenggara (SEA).

Menurut PCG, disasarkan mula beroperasi pada 2024, projek itu adalah sejajar dengan pelan pertumbuhan PCG untuk berkembang ke derivatif dengan menambah nilai kepada molekul produk sedia ada seperti urea, metanol, poliolefin, dan lain-lain.

Katanya, PCG, melalui anak syarikat milik penuhnya, Petronas Chemicals Fertiliser Kedah (PCFK), akan menggunakan urea yang dihasilkan daripada PCFK sebagai bahan mentah untuk menghasilkan melamina.

Pengarah Utusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd. Yusri Mohamed Yusof berkata, projek itu merupakan pencapaian penting bagi PCG dan mengukuhkan lagi strategi syarikat untuk mempelbagaikan portfolio produknya.

“Dengan menempatkan loji dalam kawasan yang sama dengan PCFK, kami akan dapat memaksimumkan nilai keseluruhan melalui integrasi bahan mentah dan utiliti dengan kemudahan PCFK sedia ada,” katanya dalam kenyataan.

PCG merupakan pengeluar bahan kimia bersepadu terulung di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara.

Kumpulan itu merupakan pengendali loji bersepadu bertaraf dunia daripada pengeluaran bahan mentah sehingga kepada produk hiliran.

Dengan jumlah kapasiti sebanyak 12.8 juta tan metrik setahun (mtpa), aktiviti perniagaan PCG melibatkan pengeluaran, pemasaran dan penjualan beraneka produk bahan kimia, termasuk olefin, polimer, baja, methanol serta produk bahan kimia dan derivatif asas.

Disenaraikan di Bursa Malaysia Securities Berhad pada 2010, dengan pengalaman selama tiga dekad di dalam industri petrokimia, PCG telah ditubuhkan sebagai sebahagian daripada Kumpulan Petronas untuk memaksimumkan nilai daripada sumber gas asli Malaysia.

PCG adalah antara 10 syarikat daripada 200 syarikat terbesar mengikut permodalan pasaran, yang tersenarai dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBM).

Di samping itu, PCG disenaraikan di Indeks Dunia Dow Jones Sustainability. Indeks itu mewakili 10 peratus teratas daripada 2,500 syarikat terbesar dalam S&P Global BMI berdasarkan kriteria ekonomi, alam sekitar dan sosial.

“Kami terus komited untuk memastikan amalan perniagaan kami adalah selaras dengan piawaian yang diiktiraf di peringkat global bagi Ekonomi, Alam Sekitar, Sosial & Tadbir Urus (EESG),” jelas syarikat itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN