Kawal Covid-19 untuk pertumbuhan ekonomi lebih baik - Utusan Malaysia

Kawal Covid-19 untuk pertumbuhan ekonomi lebih baik

PEMATUHAN SOP iaitu pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di kawasan awam dapat mengekang penularan Covid-19 dan membolehkan pembukaan aktiviti ekonomi secara lebih meluas. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dibendung dengan baik dan konsisten sepanjang tahun ini bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang disasarkan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, itu merupakan syarat utama bagi memastikan negara mencapai kadar pertumbuhan yang sepatutnya untuk tahun ini.

Kata beliau, proses pembukaan ekonomi juga perlu diteruskan di samping langkah-langkah Bajet 2022 dilaksanakan dengan segera.

“Selain itu, kita mengharapkan agar ekonomi global akan terus pulih dan sektor eksport serta import negara akan mendapat manfaat secara langsung,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kata Mohd. Afzanizam, sekiranya negara berjaya mengawal penularan Covid-19 dengan baik, langkah pembendungan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memberi kesan kepada ekonomi tidak perlu lagi dilaksanakan.

Namun, kata beliau, nasihat daripada pakar kesihatan perlu sentiasa diraikan dan dipatuhi sepenuhnya kerana mereka lebih arif dalam menilai risiko Covid-19.

Tambah beliau lagi, bagi memastikan pasaran saham Malaysia dalam prestasi yang baik, perkara terpenting adalah memastikan suasana ekonomi dan politik berada dalam keadaan yang stabil.

“Dengan kestabilan ekonomi dan politik, maka agenda pembangunan dapat diteruskan serta tahap ketidakpastian ekonomi dapat dikurangkan.

“Sekiranya ini dapat dilakukan, sudah pasti para penganalisis dan pengurus dana akan dapat membuat anggaran dengan lebih tepat tentang pendapatan syarikat-syarikat yang disenaraikan,” katanya.

Walau bagaimanapun, Mohd. Afzanizam menjelaskan, kadar pertumbuhan eksport akan sedikit perlahan tahun ini.

Ia berikutan prestasi memberangsangkan yang dicatatkan tahun lalu yang mewujudkan kesan asas yang tinggi.

“Namun, ia masih mencerminkan iklim ekonomi yang positif bagi sektor-sektor yang berorientasikan eksport,” katanya.

Malaysia merekodkan sejumlah 2,773,156 kes Covid-19 setakat semalam. Sementara itu, sebanyak 122 kes Omicron direkodkan setakat 4 Januari 2022.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN