NEW YORK: Minyak mentah Brent pada Rabu melepasi AS$90 (RM378.54) setong buat kali pertama dalam tempoh tujuh tahun, susulan bekalan yang ketat dan ketegangan politik yang meningkat antara Rusia dan Ukraine.
Minyak mentah Brent melepasi AS$90 (RM378.18) setong buat kali pertama sejak Oktober 2014, sebelum turun sedikit dan ditutup pada AS$89.96 (RM378.01).
Harga minyak mentah West Texas Intermediate AS pula ditutup AS$1.75 (RM7.35) atau 2.0 peratus kepada AS$87.35 (RM367.04) setong.
Harga minyak mengetepikan keuntungan selepas penutupan dagangan, menurun bersama aset berisiko lain seperti ekuiti selepas pelabur mentafsirkan kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), Jerome Powell dalam sidang akhbarnya mengenai jangkaan kenaikan kadar faedah yang dilihat sebagai agak agresif.
Sementara itu, Rusia telah mengumpulkan beribu-ribu tentera di sempadan Ukraine, menimbulkan kebimbangan pencerobohan. Harga pasaran tenaga meningkat berikutan kebimbangan bekalan gas Rusia ke Eropah boleh terganggu. Rusia juga merupakan salah satu pengeksport minyak terbesar dunia.
Setiausaha Negara AS, Tony Blinken berkata, AS akan memastikan bekalan tenaga global tidak terganggu jika Rusia mengambil tindakan.
Ketua Penasihat Geopolitik dan Analitik S&P Global Platts, Paul Sheldon berkata, pasaran risau bekalan fizikal boleh terganggu.
“Kemungkinan besar, aliran akan berterusan tetapi risiko bahawa sesuatu boleh menjejaskan keseimbangan fizikal tidak boleh diabaikan,” katanya.
Pada Selasa, Presiden AS, Joe Biden berkata, beliau akan mempertimbangkan sekaran peribadi ke atas Presiden Rusia, Vladimir Putin jika Rusia menyerang Ukraine.
Pergerakan Houthi Yaman pula telah melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Isnin.
Ketegangan politik global telah menambah kebimbangan pasaran tenaga yang sudah ketat.
Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) juga menghadapi masalah untuk mencapai sasaran pengeluaran bulanan kerana ia memulihkan bekalan pasaran selepas potongan drastik pada 2020. AS turut kekurangan lebih sejuta tong daripada tahap rekod pengeluaran hariannya.
Naib Presiden Kanan di analisis Rystad, Claudio Galimberti berkata, satu-satunya organisasi yang boleh mengubah perjalanan harga sekarang ialah OPEC. – AGENSI










