NEW YORK: Harga minyak naik ke paras tertinggi sejak 2014 berikutan kebimbangan pelabur terhadap ketegangan politik global yang melibatkan pengeluar utama seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Rusia yang boleh memburukkan lagi prospek bekalan.
Niaga hadapan minyak mentah Brent naik AS$1.03, atau 1.2 peratus kepada AS$87.51 (RM366.71) setong manakala niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate Amerika Syarikat (AS) ditutup 1.9 peratus lebih tinggi pada AS$85.43 (RM358.07) setong.
Kedua-dua penanda aras itu mencecah paras tertinggi sejak Oktober 2014 dan beberapa sumber Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) memberitahu berkemungkinan harga minyak boleh mencecah AS$100 (RM419.14) setong.
Kebimbangan bekalan meningkat minggu ini selepas kumpulan Houthi Yaman menyerang UAE, meningkatkan permusuhan antara kumpulan bersekutu Iran dan pakatan pimpinan Arab Saudi.
Selepas melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang mencetuskan letupan dalam trak bahan api dan membunuh tiga orang, pergerakan Houthi memberi amaran mereka boleh menyasarkan lebih banyak kemudahan, manakala UAE berkata pihaknya mempunyai hak untuk membalas serangan pengganas tersebut.
Serangan ke atas sekutu terkemuka Arab Teluk membawa perang antara kumpulan Houthi dan gabungan pimpinan Arab Saudi ke tahap baharu, dan mungkin menghalang usaha untuk membendung ketegangan serantau ketika Washington dan Tehran berusaha menyelamatkan perjanjian nuklear.
Penganalisis kanan pasaran minyak Rystad Energy, Louise Dickson berkata, kerosakan kemudahan minyak UAE di Abu Dhabi tidak begitu ketara, tetapi ia menimbulkan persoalan lebih banyak gangguan bekalan di rantau ini pada 2022.
“Serangan itu meningkatkan risiko geopolitik di rantau ini dan mungkin memberi isyarat perjanjian nuklear Iran-AS tidak mengikut jadual, bermakna tong minyak Iran tidak dipasarkan, sekali gus meningkatkan permintaan untuk minyak mentah gred sama dari tempat lain,” tambah Dickson.
Syarikat minyak UAE ADNOC berkata, pihaknya telah mengaktifkan rancangan kesinambungan perniagaan untuk memastikan bekalan produk tidak terganggu kepada pelanggan tempatan dan antarabangsanya selepas insiden di depoh bahan api Mussafahnya.
Secara berasingan, seorang pegawai kanan Jabatan Negara AS berkata, tentera Rusia dikerahkan ke Belarus untuk apa yang Moscow dan Minsk katakan sebagai latihan ketenteraan bersama menimbulkan kebimbangan bahawa mereka berpotensi boleh digunakan untuk menyerang negara jiran Ukraine.
Pada masa yang sama, pengeluar dalam OPEC sedang bergelut untuk meningkatkan kapasiti yang dibenarkan di bawah perjanjian OPEC+ dengan Rusia dan sekutu untuk menambah 400,000 tong sehari setiap bulan.
OPEC pada Selasa kekal pada ramalannya untuk pertumbuhan kukuh dalam permintaan minyak dunia pada 2022 walaupun berdepan varian Omicron dan jangkaan kenaikan kadar faedah.
Penganalisis Goldman Sachs berkata mereka menjangkakan inventori minyak di negara-negara Organisasi untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) akan jatuh ke paras terendah sejak 2000 menjelang musim panas, dengan harga minyak Brent meningkat kepada AS$100 (RM419.14) akhir tahun ini. – AGENSI










