Genting HK, tidak jejaskan aliran tunai bank, negara – Azmin - Utusan Malaysia

Genting HK, tidak jejaskan aliran tunai bank, negara – Azmin

MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan yakin bank terlibat dalam pemberian pinjaman tanpa cagaran kepada syarikat Genting Hong Kong yang digulung baru-baru ini tidak akan menjejaskan aliran tunai bank serta agensi-agensi kerajaan.

Ini kerana, pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini diunjurkan oleh Bank Dunia meningkat sebanyak 5.8 peratus sejajar dengan jangkaan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan (MOF) sekitar 5.5 hinga 6.5 peratus.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau yakin terhadap pertumbuhan tersebut berserta penjelasan yang diberikan Malayan Banking Berhad (Maybank) baru-baru ini mengenai ketahanan terhadap kesan penggulungan Genting Hong Kong.

Malah, beliau menganggap penggulungan syarikat pelancongan dan perjudian antarabangsa itu tidak akan memberikan kesan kepada ekonomi negara.

“Maybank telah keluarkan kenyataan ia tidak akan berikan kesan, tetapi sekali lagi saya rasa MOF akan pantau situasi ini secara rapat

“Setakat ini kenyataan daripada Maybank, tidak ada impak kepada kecairan (tunai) dan bank negara serta MOF akan mengambil tindakan untuk memastikan kecairan tunai kekal kukuh,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat

Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Selangor Pertama 2022 di sini, semalam.

Terdahulu, tiga bank iaitu Maybank, Kumpulan CIMB Berhad dan RHB Bank Berhad dijangka terimpak dengan penggulungan Genting Hong Kong yang mempunyai pinjaman kira-kira AS$600 juta (RM2.51 bilion).

Syarikat berkenaan kini ber­hadapan penggulungan sebelum pengerusinya Tan Sri Lim Kok Thay meletakkan jawatan pada 21 Januari lalu apabila mempunyai liabiliti bernilai le­bih AS$2.7 bilion (RM11.3 bilion) menerusi anak syarikatnya di Jerman, MV Werften.

Keadaan itu ditambah dengan kedudukan kewangan syarikat pengendali kapal persiaran itu merosot mendadak selepas pandemik Covid-19 menyebabkan pelbagai sekatan yang memerlukan penstrukturan semula dan kemuflisan dalam kalangan syarikat industri perjalanan di seluruh dunia.

Susulan itu, Genting Hong Kong menghentikan pembayaran hutang kepada penyedia pinjaman berjumlah AS$3.4 bilion (RM14.2 bilion) dan gagal membayarnya setakat 31 Disember tahun berkenaan.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin memaklumkan, beliau tidak bimbang dengan penggulungan tersebut walaupun pelabur utama dalam bank-bank berkenaan termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

“Maybank sudahpun mengeluarkan kenyataan secara spesifik dan secara umumnya Bank Dunia turut menyemak prestasi perkembangan ekonomi negara pada tahun ini.

“Kerajaan sedang berusaha gigih, sebab itu kalau lihat kepada Nikkei Recovery Index, pertumbuhannya memberangsangkan berbanding tahun lalu dan KLSI sudahpun memaklumkan kepada Parlimen untuk menarik pelaburan berkualiti ke dalam negara,” jelasnya.

Tambahnya, kerajaan sedang bekerjasama rapat dengan pelbagai kementerian dan agensi untuk menarik pelaburan baharu dan memastikan perdagangan dalam negara kekal berdaya saing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN