Tragedi helikopter terhempas di Long Lellang, Sarawak yang meragut lima nyawa, termasuk empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan seorang juruterbang, bukan sekadar berita yang lalu di skrin telefon. Ia meninggalkan rasa sedih, simpati dan pada masa sama persoalan yang bermain dalam fikiran ramai.
Mereka keluar bertugas untuk membantu masyarakat. Petugas kesihatan menjalankan tanggungjawab, manakala juruterbang pula membawa mereka ke destinasi.
Namun, tugas yang sepatutnya berakhir seperti biasa bertukar menjadi tragedi.
Dalam suasana duka itu, pelbagai andaian mula muncul. Ada yang mempersoalkan keadaan helikopter berkenaan, termasuk kemungkinan faktor usia pesawat menjadi antara puncanya.
Namun, buat masa ini, semuanya masih andaian. Tiada siapa wajar menuding jari sebelum hasil siasatan pihak berkuasa diumumkan.
Pihak berkuasa juga sudah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas. Maka, biarlah penyiasat melakukan tugas mereka dan segala bukti diperiksa dengan teliti.
Tetapi dalam masa yang sama, rakyat berhak untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.
Bukan kerana mahu mencari salah sesiapa. Bukan juga untuk menambah luka kepada keluarga mangsa. Sebaliknya, jawapan itu penting supaya tragedi sama tidak berulang.
Jika benar masalah teknikal, kita perlu tahu apa yang gagal dan mengapa ia gagal. Jika faktor penyelenggaraan, apakah yang perlu diperbaiki? Jika cuaca, apakah prosedur yang perlu diperketatkan? Jika faktor manusia, apakah langkah pencegahan yang boleh diambil?
Memang ada perkara yang pahit untuk ditelan. Namun, lebih baik kita mengetahui pahitnya sekarang daripada terus membiarkan persoalan tanpa jawapan.
Lima nyawa sudah pergi ketika menjalankan amanah. Biarlah pengorbanan mereka menjadi sebab sistem keselamatan diperbaiki, kelemahan diperbetulkan dan langkah pencegahan diperkemaskan.
Rakyat bukan sekadar mahu bersedih. Rakyat mahu tahu punca, supaya nyawa lain tidak menjadi taruhan.
Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia.










