PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom tidak mahu kecederaan lutut kanan menjadi penghalang dalam misi memburu kejutan acara keirin pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Sebaliknya, pelumba berusia 29 tahun itu mengakui aspek yang kini menjadi perhatian utama adalah memperkasakan kuasa serta pecutan kaki bagi membolehkannya melakukan lonjakan kelajuan pada saat kritikal perlumbaan.
Menurut Shah Firdaus, prestasinya pada Sukan Komanwel Glasgow bulan lalu jelas menunjukkan kelemahan berkenaan apabila dia mampu mengekalkan kelajuan selepas berada pada momentum tinggi, namun bergelut untuk melakukan perubahan daripada kelajuan rendah kepada kelajuan maksimum.
“Sekarang di trek, jurulatih memberi fokus kepada pecutan saya. Pada Sukan Komanwel, kita sudah nampak kaki saya kurang dari segi pecutan.
“Apabila sudah mencapai kelajuan, saya tiada masalah dan boleh teruskan. Cuma masalahnya ialah peralihan daripada kelajuan perlahan kepada kelajuan tinggi,” katanya.
Di Glasgow, Shah Firdaus sekadar menduduki tempat ketujuh dalam acara keirin selepas gagal melangkah ke final, sebelum memenangi perlumbaan penentuan.
Dalam acara pecut individu pula, dia mencatat masa 9.805 saat untuk berada di tempat ke-10 kelayakan sebelum tersingkir pada pusingan 16.
Namun, penampilan di Glasgow dianggapnya sebagai medan penting untuk mengukur tahap sebenar selepas melalui tempoh pemulihan panjang susulan kecederaan lutut yang memerlukan pembedahan tahun lalu.
Sejak kembali ke pentas antarabangsa pada April, Shah Firdaus mula menunjukkan perkembangan positif apabila meraih emas pecut dan keirin pada Piala Trek Indonesia, Mei lalu, diikuti perak keirin Piala Trek Jepun.
Dia kemudian menewaskan seniornya, Datuk Mohd Azizulhasni Awang untuk merampas semula gelaran keirin elit kebangsaan pada Jun, sekali gus menamatkan penantian untuk kembali bergelar juara sejak kali terakhir memenanginya pada 2022.
Kini, dengan saingan berbasikal trek Sukan Asia dijadual berlangsung dari 28 September hingga 3 Oktober, Shah Firdaus mahu memastikan kelemahan pecutan itu dapat diperbaiki sebelum turun memburu keputusan lebih besar di Aichi-Nagoya. – UTUSAN










