
PETALING JAYA: Ferrari Daytona SP3 telah dianugerahkan Hadiah Utama: Kereta Super Paling Cantik 2022 di Festival Automobil Antarabangsa Paris ke-37, baru-baru ini.
Anugerah tahunan berprestij itu diadakan bagi memberi penghormatan kepada kereta sport yang dipilih oleh panel personaliti berpengaruh dari dunia permotoran berdasarkan reka bentuk dan keindahan estetiknya.
Menurut kenyataan, panel juri turut menganugerahkan Ketua Pegawai Reka Bentuk Ferrari, Flavio Manzoni dengan Hadiah Utama Reka Bentuk, sebagai pengiktirafan terhadap karya asli, kreativiti dan berpengaruh dalam sektor automotif.
“Reka bentuk Ferrari Daytona SP3, sebuah kereta edisi terhad yang menyertai siri ‘Icona,’ adalah gabungan kontra yang harmoni, arca yang mengagumkan, permukaan yang indah diselangi dengan jenis garisan yang lebih tajam sekali gus mendedahkan kepentingan aerodinamik yang semakin berkembang dalam reka bentuk daripada pelumba 60-an dan 70-an seperti 330 P4, 350 Can-Am dan 512 S.
“Pilihan berani bagi badan ‘Targa’ dengan bumbung boleh buka juga diilhamkan oleh dunia prototaip sukan, menjadikan Ferrari Daytona SP3 bukan sahaja memberikan keseronokan pemanduan yang menggembirakan tetapi juga prestasi yang mengagumkan,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Reka Bentuk Ferrari, Flavio Manzoni memberitahu, dua anugerah penting itu adalah bukti yang tidak dapat dipertikaikan tentang tahap kualiti dan kecemerlangan yang dicapai oleh Pusat Penggayaan Ferrari.
Siri Ferrari ‘Icona’ telah dilancarkan pada 2018 dengan Ferrari Monza SP1 dan SP2, yang diilhamkan daripada pertandingan pada 1950-an yang membantu memperoleh status legenda dalam sukan permotoran.
Siri ‘Icona’ meraikan sejarah Ferrari dengan mentafsir semula penggayaan abadi jenama kereta paling ikonik itu kepada kesan moden yang radikal menggunakan bahan dan teknologi paling inovatif terkini. – UTUSAN










