Ekonomi China berkembang melepasi jangkaan - Utusan Malaysia

Ekonomi China berkembang melepasi jangkaan

CHINA, ekonomi kedua terbesar dunia, dijangka menyaksikan pertumbuhan KDNK yang perlahan kepada 4.2 peratus pada tahun ini – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Pertumbuhan ekonomi China lebih pantas daripada jangkaan pada suku akhir 2021 tetapi masih mencatatkan kadar paling lemah dalam tempoh satu setengah tahun, dengan bank pusat mengurangkan kadar pinjaman untuk mengimbangi momentum yang perlahan dalam ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Negara ini menghadapi halangan daripada sekatan kawal selia, masalah sektor hartanah dan penularan wabak Covid-19.

Keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang 4.0 peratus dalam tempoh Oktober hingga Disember daripada tahun sebelumnya, berbanding pertumbuhan 4.9 peratus pada suku ketiga, data Biro Perangkaan Kebangsaan.

Sebelum ini, penganalisis meramalkan kenaikan sebanyak 3.6 peratus dalam tinjauan Reuters.

Ekonomi berkembang 8.1 peratus pada 2021, lebih cepat daripada jangkaan dan jauh melebihi sasaran kerajaan iaitu melebihi 6.0 peratus selain pertumbuhan 2020 yang disemak semula sebanyak 2.2 peratus.

Pada asas suku ke suku, KDNK meningkat 1.6 peratus pada Oktober hingga Disember, berbanding jangkaan untuk kenaikan 1.1 peratus serta peningkatan 0.7 peratus yang disemak semula pada suku sebelumnya.

Ekonomi China bermula dengan kukuh pada 2021 apabila aktiviti pulih daripada kemerosotan akibat pandemik pada tahun sebelumnya, tetapi kembali mendatar akibat kemerosotan hartanah, sekatan hutang dan sekatan ketat Covid-19 yang telah menjejaskan penggunaan.

Bank pusat China juga mengambil keputusan di luar jangka dengan mengurangkan kos pinjaman bagi pinjaman jangka sederhananya buat kali pertama sejak April 2020, menyebabkan beberapa penganalisis menjangkakan lebih banyak pelonggaran dasar tahun ini untuk mengurangkan kelembapan ekonomi.

Bank Rakyat China (PBOC) berkata, mereka menurunkan kadar faedah pada 700 bilion yuan (AS$110.2 bilion) pinjaman kemudahan pinjaman jangka sederhana (MLF) satu tahun kepada beberapa institusi kewangan sebanyak 10 mata asas kepada 2.85 peratus daripada 2.95 peratus dalam operasi sebelumnya.

“Momentum ekonomi kekal lemah di tengah-tengah wabak virus yang berulang dan masalah sektor hartanah. Oleh itu, kami menjangkakan pemotongan 20 mata asas lagi kepada kadar dasar PBOC pada separuh pertama tahun ini,” kata penganalisis di Capital Economics dalam satu nota.

Data penggunaan yang lemah juga menyelubungi prospek, dengan jualan runcit pada Disember meleset daripada jangkaan dengan hanya peningkatan 1.7 peratus daripada tahun sebelumnya, kadar paling perlahan sejak Ogos 2020.

Beberapa bandar di China memberikan amaran penularan Covid-19 yang tinggi menjelang musim perjalanan cuti Tahun Baharu Cina, kerana varian Omicron menjangkau lebih banyak kawasan termasuk Beijing. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN