
Pembinaan projek mega, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM50.2 bilion akan turut dirasai impaknya terutama daripada sudut limpahan ekonomi oleh rakyat tempatan.
Projek sepanjang 665 kilometer melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor itu telah siap kira-kira 26.49 peratus sehingga Disember tahun lalu dan dijangka siap pada Disember 2026.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi memastikan penglibatan rakyat atau syarikat tempatan dalam projek berimpak tinggi tersebut.
“Jawatankuasa terbabit diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak agar limpahan itu juga dapat dirasai oleh rakyat tempatan seperti lantikan kontraktor tempatan bumiputera termasuk pembekal.
“Jadi dasar kita ialah kita mahu mengharmonikan supaya apa juga projek mega yang dibawa oleh kerajaan, rakyat tempatan juga dapat merasainya,” katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak pembinaan Terowong Genting ECRL Seksyen C (Mentakab ke Pelabuhan Klang) di sini, baru-baru ini.
Selain itu, tinjauan Utusan Malaysia di Kampung Bukit Tinggi di sini mendapati, rata-rata penduduk teruja dan tidak sabar untuk menantikan pembinaan ECRL terbabit siap sepenuhnya pada 2026 nanti.

Seorang peniaga, Ruslin Indawati Sahirudin, 47, berkata, sejak berniaga kedai makan enam bulan lalu, semakin ramai pelanggan terdiri dalam kalangan kakitangan dan pekerja kontrak pembinaan terowong ECRL berdekatan datang menjamu selera di kedainya.
Katanya, ia ibarat memberi sinar baharu buatnya memandangkan sebelum ini dia tidak dapat berniaga disebabkan oleh perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Saya rasa bersyukur dan seronok berniaga dengan kehadiran ramai pelanggan, pekerja kontrak pembinaan terowong itu yang kini rata-ratanya telah menjadi pelanggan tetap saya.
“Saya berharap selepas selesai pembinaan ECRL nanti, semakin ramai pelanggan tidak hanya dalam kalangan pekerja kontrak, malah pelancong dari negeri lain datang singgah ke kedai saya,” katanya.

Penduduk, Kartini Abu Bakar, 48, pula berkata, dia berharap dengan adanya ECRL itu nanti dapat membangunkan lagi ekonomi di kawasan sekitar terutamanya dari sudut kedatangan pelancong.
“Saya tidak sabar hendak melihat lebih ramai pelancong datang ke sini selain saya sendiri tidak sabar untuk menggunakan perkhidmatan itu untuk melancong ke negeri lain.
“Di sini, jika kami hendak pergi ke negeri lain, kami terpaksa menggunakan perkhidmatan teksi dan bas untuk ke Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum dapat menggunakan pengangkutan awam lain untuk ke negeri lain. Begitu juga pelancong dari negeri lain yang hendak datang ke sini,” katanya. – UTUSAN










