PETALING JAYA: Selepas mengalami kejatuhan dua hari berturut-turut, penanda aras FTSE Bursa Malaysia (KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 2.13 mata kepada 1,544.03, semalam.
Ia merupakan peningkatan harian pertama indeks tersebut untuk tahun ini selepas mengalami penurunan sejak mencapai prestasi tertingginya pada 31 Disember lalu.
Pada penghujung tahun, FBM KLCI ditutup pada 1,567.53 mata meningkat hampir 15 mata berbanding hari sebelumnya.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, seperti yang dijangka, penggerak utama pasaran ialah sektor kesihatan dan pengangkutan.
“Trend itu dijangka akan berterusan selagi kita menghadapi masalah pandemik Covid-19 yang berterusan dan sektor ekonomi yang lain mula dibuka semula,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sentimen pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 582 berbanding 362, manakala 398 kaunter tidak berubah dan 931 kaunter tidak diniagakan.
Antara kaunter yang untung adalah kaunter sarung tangan apabila syarikat-syarikat seperti Hartalega Holdings Berhad, Supermax Corporation Berhad dan Top Glove Corporation Berhad mencatatkan prestasi yang lebih baik susulan berita penemuan varian baharu virus Covid-19 yang dikenali sebagai IHU.
Pada 9.05 pagi semalam, indeks utama FBM KLCI turut menambah 0.24 mata kepada 1,542.14 berbanding 1,541.9 pada akhir dagangan kelmarin. – UTUSAN










