PETALING JAYA: Pasaran saham tempatan di Bursa Malaysia minggu ini dijangkakan kekal bercampur-campur dengan didagangkan sekitar 1,520 hingga 1,540 mata.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ia susulan pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini yang mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.
“Keputusan BNM itu memberi isyarat bahawa masih ada ruang untuk ekonomi berkembang, tetapi pada masa sama memberi peluang untuk semua pihak bersedia atas kemungkinan peningkatan OPR kemungkinan pada separuh tahun kedua 2022 ini.
“Saya juga melihat ringgit akan kekal mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sekitar RM4.16 hingga RM4.20 kerana statistik masih lagi menunjukkan peningkatan eksport sejak beberapa bulan lepas,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Bursa Malaysia Jumaat lalu ditutup pada 1,527.06, susut 0.69 dari sehari sebelumnya, semantara ringgit pula diniagakan 4.1925/4.1865 berbanding dolar AS.
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia dalam mesyuaratnya sebelum ini memutuskan untuk mengekalkan OPR pada 1.75 peratus.
BNM dalam kenyataan berkata, MPC menyifatkan pendirian semasa dasar monetari adalah wajar dan akomodatif.
Katanya, langkah-langkah fiskal dan kewangan akan terus mengurangkan kesan ekonomi terhadap perniagaan dan isi rumah serta memberikan sokongan kepada kegiatan ekonomi.
“Pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data baharu serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri,” katanya.
Mengenai krisis politik di Johor, Ahmed Razman berpendapat, situasi politik di Johor tidak akan memberi impak yang besar kepada bursa, ringgit dan ekonomi negara kerana isu itu bersifat setempat.
Ditanya faktor-faktor yang berkemungkinan memberi kesan kepada prestasi Bursa Malaysia, Ahmed Razman berpandangan, memandangkan Tahun Baru Cina akan disambut pada 1 Februari, ramai pelabur tidak akan menjadi aktif minggu ini.
“Oleh itu, saya melihat pasaran tidak akan menjadi terlalu agresif dan lebih bersifat pasif,” katanya.
Mengenai kesan penularan kes jangkitan Omicron pula, beliau berpendapat, “ia tidak akan memberi kesan sangat, kecuali banyak negara akan kembali menutup sempadan dan sektor ekonomi mereka” disebabkan wabak tersebut. – UTUSAN










