BNM dijangka tingkatkan kadar OPR 100 mata asas - Utusan Malaysia

BNM dijangka tingkatkan kadar OPR 100 mata asas

BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi dalam usaha mengekang kenaikan inflasi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 100 mata asas antara 2022 dan 2023 dengan ramalan pasaran buruh Malaysia yang lebih kukuh dan inflasi yang lebih tinggi memandangkan Asia mencatatkan permintaan domestik yang lebih kukuh apabila ekonomi dunia pulih daripada sekatan perjalanan akibat pandemik Covid-19.

Menurut HSBC, apabila pasaran Malaysia semakin kukuh, inflasi teras negara, seperti yang diukur oleh indeks harga pengguna (IHP), mungkin meningkat secara beransur-ansur sebanyak 2.0 peratus menjelang penghujung 2022 yang membolehkan BNM memulakan proses pengetatan monetari secara beransur-ansur pada separuh kedua 2022.

“Kami percaya ekonomi Malaysia mempunyai salah satu prospek yang lebih cerah di rantau ini. Kami menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 3.6 peratus pada 2021 sebelum meningkat kepada kepada 5.6 peratus pada 2022.

“Malaysia antara negara yang mempunyai kadar vaksinasi Covid-19 tertinggi di Asia yang sekali gus memberi tahap daya tahan yang tinggi. Walaupun sekatan perjalanan mungkin akan dilaksanakan semula, kami percaya kerajaan mungkin akan memilih langkah yang lebih disasarkan berbanding sebelum ini.

“Sekatan perjalanan itu nampaknya telah mewujudkan tunggakan besar, yang akan memacu pertumbuhan eksport Malaysia dengan baik sehingga 2022,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena HSBC Asian Outlook 2022.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM semasa mesyuarat akhirnya pada 3 November 2021 telah memutuskan untuk mengekalkan OPR pada 1.75 peratus selepas mengambil kira risiko terhadap unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia terus cenderung ke arah pertumbuhan yang lebih perlahan disebabkan oleh faktor luaran dan domestik.

Menurut BNM, OPR pada 1.75 peratus adalah yang paling rendah dalam rekod. OPR telah dikekalkan pada 1.75 peratus sejak 7 Julai 2020, apabila BNM mengurangkan kadar daripada 2 peratus. Bagi 2020, ekonomi Malaysia menguncup 5.6 peratus.

Ketua Bersama Ekonomi Asia HSBC, Frederic Neumann berkata, untuk 2022, HSBC menjangka BNM akan menaikkan OPR sebanyak 50 mata asas berikutan pemulihan permintaan domestik.

“BNM dijangka menaikkan kadar faedah kerana Asia mungkin akan mengalami pemulihan permintaan domestik yang lebih kukuh berbanding wilayah lain.

“Kami berpendapat dari segi pelaburan terutamanya pelaburan langsung asing, Malaysia kekal sebagai penerima utama aliran semasa. Kami juga menjangka bahagian eksport akan kekal disokong dengan baik,” katanya pada taklimat HSBC Asian Outlook 2022 yang diadakan secara maya, semalam.

Sementara itu, Ketua Strategi Ekuiti Asia di HSBC, Herald van der Linde berkata, dana berkemungkinan akan mengurangkan pendedahan kepada ekuiti Malaysia dengan menjangkakan kenaikan kadar faedah.

Jelasnya, berbeza dengan beberapa pasaran ASEAN yang lain, di Malaysia mempunyai kadar faedah domestik yang meningkat dan ia bukan perkara yang positif.

Beliau berkata, kebanyakan dana sudah cukup berat di Malaysia jadi mereka tidak boleh membeli lebih banyak lagi jika mereka mahu.

“Sebahagian daripada dana itu mungkin akan mengurangkan pendedahan mereka kepada ekuiti Malaysia dan memindahkan wang mereka ke pasaran ASEAN lain seperti Filipina dan Indonesia.

“Pertumbuhan dalam semua pasaran semakin menurun kerana tahun lepas kami mempunyai lonjakan besar dalam pertumbuhan pendapatan, lebih-lebih lagi di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN