JAKARTA: Penguasa Perkhidmatan Kewangan (OJK) Indonesia memberi amaran bahawa firma kewangan tidak dibenarkan menawar dan memudahkan penjualan aset kripto di tengah ledakan dalam perdagangan kripto di negara ekonomi terbesar Asia Tenggara itu.
“OJK telah melarang keras institusi perkhidmatan kewangan daripada menggunakan, memasarkan dan/atau memudahkan perdagangan aset kripto,” kata pengawal selia dalam satu kenyataan yang disiarkan di Instagram.
Ia memberi amaran bahawa nilai aset kripto sering berubah-ubah dan orang yang membeli aset digital harus memahami sepenuhnya risiko mata wang digital itu.
“Sila berhati-hati dengan dakwaan penipuan skim Ponzi dalam pelaburan kripto,” tambahnya, tanpa mengulas lanjut.
Amaran itu susulan kebimbangan serupa yang disuarakan oleh bank pusat Thailand.
Perdagangan dalam aset kripto melonjak di Indonesia, dengan jumlah transaksi 2021 mencecah 859 trilion rupiah (AS$59.83 bilion/RM250.45 bilion), meningkat daripada hanya 60 trilion rupiah pada 2020, lapor media, memetik data kementerian perdagangan.
Indonesia membenarkan penjualan aset kripto di bursa komoditi dan perdagangan diselia oleh kementerian perdagangan dan Agensi Kawal Selia Dagangan Niaga Hadapan Komoditi, bukan oleh OJK.
Kementerian kini sedang memudahkan penubuhan bursa berasingan untuk aset digital, dipanggil Bursa Niaga Hadapan Digital, yang menurut pegawai akan dilancarkan pada suku pertama.
Walau bagaimanapun, mata wang kripto tidak boleh digunakan secara sah untuk urusan pembayaran di negara ini. – AGENSI










