PETALING JAYA: Asas AirAsia Group Berhad semakin kukuh walaupun kini diklasifikasikan dalam Nota Amalan 17 (PN17) oleh Bursa Malaysia.
Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) dalam nota kajiannya berkata, ia melihat kepada unit operasi Kumpulan AirAsia Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina berjaya menerbangkan antara 25 hingga 50 peratus pesawatnya ketika sektor penerbangan global bergelut dengan kesan sekatan pergerakan akibat pandemik Covid-19.
Firma penyelidikan itu juga percaya, kemas kini penggunaan pesawat Kumpulan AirAsia boleh dihormati.
“Lebih penting lagi, asasnya semakin baik. Semua analisis kami tidak berguna jika unjuran Kumpulan AirAsia tidak meningkat, namun kami percaya ia akan meningkat,” katanya.
Menurut Maybank IB, ketika ini, unit operasi Kumpulan AirAsia Malaysia menerbangkan 33 peratus pesawatnya, Indonesia dan Filipina kira-kira 25 hingga 33 peratus manakala AirAsia Thailand 50 peratus.
Malah, katanya, operasi penerbangan AirAsia yang sebelum ini menyumbangkan 80 peratus daripada pendapatannya turut disokong statistik yang dikeluarkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
MAHB melaporkan peningkatan trafik domestik sejak Oktober lalu, walaupun masih bergelut dengan penerbangan antarabangsa.
Dalam kenyataannya semalam, MAHB melaporkan peningkatan pergerakan trafik di lapangan terbang Malaysia pada Disember kepada 3.11 juta penumpang.
Daripada jumlah tersebut, 2.8 juta ialah trafik domestik, meningkat 30 peratus berbanding 2.16 juta pada November. – UTUSAN










