Vantage Data Centers muktamadkan pemerolehan PCCW - Utusan Malaysia

Vantage Data Centers muktamadkan pemerolehan PCCW

Pusat Data Vantage di Tsuen Wan West, Hong Kong, sedang dalam pembangunan. - FOTO VANTAGE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Vantage Data Centers (Vantage) dan pelabur utamanya, Digital Bridge Group Inc. mengumumkan telah memuktamadkan pemerolehan perniagaan pusat data, PCCW Ltd.

Menurut syarikat penyedia kampus data hiperskala terkemuka dunia itu, pengambilalihan tersebut memperluas platform pusat datanya untuk merangkumi 100MW kapasiti sedia ada dan pengembangan merentasi pelbagai kemudahan di Hong Kong dan Kuala Lumpur.

Katanya, ia juga merupakan sebahagian daripada pengembangan strategik syarikat itu ke Asia Pasifik yang diumumkan sebelum ini pada September, yang turut meliputi pemerolehan Agile Data Centers.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Vantage, Sureel Choksi berkata, penyelesaian pengambilalihan kedua itu merupakan bahagian penting kepada pengembangan pesat pihaknya dalam pasaran utama Asia Pasifik.

“Kami kini mempunyai 32 kampus di lima benua yang dipimpin oleh pasukan serantau yang sangat berpengalaman, termasuk Brian Groen dan Giles Proctor.

“Saya teruja untuk Groen dan Proctor bekerjasama dalam peranan baharu mereka untuk menerajui perniagaan Asia Pasifik sambil kami terus berkembang dan meluas untuk memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan.

Groen menyertai Vantage selaku Presiden Asia Pasifik dari PCCW. Proctor pula yang sebelum ini memegang jawatan tersebut dilantik menjadi Ketua Pegawai Operasi Perniagaan Vantage di Asia Pasifik.

Menurut Vantage, pengambilalihan tersebut membolehkan syarikat itu menawarkan perkhidmatan pusat data di Hong Kong dan Kuala Lumpur, dua pasaran dengan pertumbuhan yang tinggi di rantau Asia Pasifik.

Pengarah Urusan Kanan bagi Pengurusan Pelaburan Digital Bridge, Jon Mauck berkata, Asia Pasifik merupakan rantau dengan pertumbuhan tinggi yang menempatkan syarikat berskala besar yang memerlukan platform infrastruktur digital global seperti pihaknya untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Vantage kini berada dalam kedudukan untuk menjadi peneraju pembekal dalam pasaran ini dengan pantas dan menawarkan produk dengan kebolehpercayaan tinggi, kelajuan pantas ke pasaran serta komitmen terhadap kemampanan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN