TNB, JAS bekerjasama kenal pasti punca pencemaran - Utusan Malaysia

TNB, JAS bekerjasama kenal pasti punca pencemaran

HUSAINI HUSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan, laluan kerja-kerja penanaman kabel bawah tanah secara Horizontal Direct Drilling (HDD) di Sungai Jelutong dan Sungai Pinang di Pulau Pinang, dibuat berdasarkan pemetaan.

Menurut Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin, ia bagi mengelakkan sebarang gangguan pada laluan infrastruktur utiliti lain.

Jelasnya, semakan awal TNB berikutan dakwaan pencemaran akibat projek itu pula mendapati, kerja-kerja HDD oleh kontraktor dilantik terletak berjauhan daripada kedua-dua sungai terbabit.

“Manakala sisa buangan kerja-kerja pengorekan dilupuskan di kawasan berjauhan dari tapak projek.

“Kerja-kerja penanaman kabel ini dilaksanakan untuk penyambungan bekalan pada voltan 132kV ke Pencawang Masuk Utama Datuk Keramat yang sedang dalam pembinaan. Ia dijadualkan siap pada Jun 2022,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu mengulas siaran akhbar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bertarikh 14 Disember 2021 yang mendakwa pencemaran di Sungai Jelotong dan Sungai Pinang disebabkan oleh kerja-kerja penanaman kabel bawah tanah secara HDD kontraktor TNB.

Menurut Husaini, TNB telah mematuhi arahan MBPP untuk menghentikan sementara kerja penanaman kabel itu.

“TNB sedang memberikan kerjasama kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang sedang membuat siasatan terperinci atas punca sebenar pencemaran di kedua-dua sungai tersebut,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN