PETALING JAYA: SME Bank melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi SME Bank 2020-2024 (SME Bank OACP) sebagai bukti komitmen dalam memerangi jenayah rasuah dan salah laku integriti.
SME Bank OACP dibangunkan dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia bagi menyokong agenda anti rasuah kerajaan menerusi Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dan Pelan Antirasuah Organisasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, MEDAC merupakan antara 27 badan kerajaan yang bertanggungjawab dalam memastikan aspek integriti dan anti rasuah menjadi tonggak utama dalam pengagihan dana-dana pembiayaan dan penganjuran program pembangunan usahawan.
“Sebagai agensi peneraju bagi inisiatif 2.4.8 iaitu memberi penekanan kepada aspek integriti dan anti rasuah dalam program pendidikan keusahawanan, adalah menjadi matlamat Kementerian untuk menyemarakkan budaya antirasuah di peringkat tertinggi sehingga ke agensi-agensi di bawahnya,” katanya dalam majlis pelancaran SME Bank OACP.
Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, SME Bank OACP telah dibangunkan berdasarkan inisiatif mandatori di bawah Strategi 2 NACP iaitu memperkukuhkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dalam sektor awam.”
“Dengan adanya SME Bank OACP ini, SME Bank juga akan mempertingkatkan aspek penilaian wajar dalam pelaksanaan setiap tugasan terutamanya dalam memproses dan memberi kelulusan permohonan yang dikemukakan oleh usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Selain meningkatkan kecekapan dan produktiviti, amalan baik ini juga akan memastikan tiada PKS yang tidak mendapat bantuan atau mendapat bantuan yang tidak setimpal,” ujarnya.
Berpandukan pelan ini, SME Bank akan mengambil tindakan menyeluruh dalam membangunkan sistem pengurusan anti rasuah untuk menjadi sebuah organisasi yang bebas rasuah, berintegriti dan membudayakan tadbir urus yang baik.
Pelan lima tahun SME Bank OACP ini mengandungi 22 pelan tindakan yang akan merangkumi lima bidang keutamaan iaitu perolehan, pentadbiran, operasi, integriti dan tadbir urus.
Setakat ini, SME Bank berada di peringkat pelaksanaan dan pemantauan terhadap inisiatif yang terdapat dalam SME Bank OACP selain giat menjalankan inisiatif ke arah pensijilan MS ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Anti-Rasuah atau lebih dikenali sebagai ABMS dan dijangka akan diperoleh pada penggal ketiga tahun 2022. – UTUSAN










