PETALING JAYA: Petronas menafikan sebarang bentuk kerjasama dengan Serba Dinamik Holding Bhd. (Serba Dinamik) untuk sama-sama menarik pelabur bagi apa-apa projek di Ekspo Dubai 2020.
Penafian syarikat minyak negara itu merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh pasukan guaman Serba Dinamik seperti dilaporkan oleh portal berita Free Malaysia Today bertajuk “CEO Serba Dinamik didakwa atas dakwaan kenyataan palsu mengenai urusan syarikat”.
Berita itu yang memetik peguam syarikat itu antara lain menyatakan bahawa “Serba Dinamik dan Peteronas akan membawa masuk pelaburan sebanyak RM33.9 bilion.”
“Petronas menafikan sebarang bentuk kerjasama dengan Serba Dinamik untuk sama-sama menarik pelabur bagi apa-apa projek di Ekspo Dubai 2020, seperti yang tersirat dalam kenyataan itu, tidak terdapat sebarang kerjasama lain untuk bersama-sama menarik pelabur menggunakan platform lain,” jelas Petronas dalam kenyataan.
Menurut laporan berkenaan, kenyataan tersebut dinyatakan oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik, Datuk Dr. Ir. Ts. Mohd Abdul Karim Abdullah, yang didakawa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dakwaan mengemukakan kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad berhubung hal ehwal syarikat tersebut.
Mohd. Abdul Karim yang juga Pengarah Urusan Serba Dinamik bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 369(a)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
Menurut pertuduhan yang difailkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, kenyataan
palsu itu berhubung angka pendapatan sebanyak RM6.104 bilion yang terkandung dalam Laporan Suku Tahun Keputusan Kewangan yang Digabungkan bagi Suku Tahun dan Tahun berakhir 31 Disember 2020.
Serba Dinamik, bersama seorang pengarah dan dua orang pegawai kanan telah dikenakan pertuduhan pada 28 Disember 2021 atas kesalahan sama, yang jika sabit kesalahan, membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi RM3 juta. – UTUSAN










