Sektor perbankan komited bantu mangsa banjir - Utusan Malaysia

Sektor perbankan komited bantu mangsa banjir

Berikutan bencana banjir yang melanda negara ketika ini, sebahagian besar bank di Malaysia telah mengumumkan pelbagai bantuan kepada pelanggan yang terkesan akibat bencana tersebut. - GAMBAR HIASAN/IHSAN APM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Berikutan bencana banjir yang melanda negara ketika ini, sebahagian besar bank di Malaysia telah mengumumkan pelbagai bantuan kepada pelanggan yang terkesan akibat bencana tersebut.

Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank telah menggerakkan program Bantuan Banjir yang menawarkan penangguhan pembayaran selama enam bulan ke atas pinjaman dan pembiayaan termasuk kad kredit untuk pelanggan individu serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas.

Menurut bank tersebut, pembiayaan tambahan juga akan disediakan kepada pelanggan PMKS sedia ada yang memerlukan modal kerja untuk memudahkan pemulihan perniagaan mereka.

“Pelanggan terjejas yang sedang menerima bantuan di bawah Pelan Bantuan Pelepasan Pembayaran Bank (PRAP) atau bantuan pembayaran balik Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), juga layak memohon untuk Bantuan Banjir tersebut.

“Bank juga menawarkan penggantian percuma dokumen bank seperti kad debit, kad kredit, cek dan penyata bank yang rosak atau hilang dalam banjir,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, OCBC Bank (Malaysia) Berhad dan OCBC Al-Amin Bank Berhad turut menggesa semua pelanggannya yang terjejas akibat banjir sama ada individu, PMKS, pelanggan komersial dan korporat untuk berhubung dengan mereka bagi membincangkan tentang pelepasan pembayaran atau langkah penyusunan semula berhubung dengan pinjaman atau skim pembiayaan sedia ada.

Ketua Operasi dan Teknologi OCBC Bank, Lim Yau Seong berkata, pihaknya komited menyokong setiap pelanggan yang terjejas teruk oleh banjir dan pandemik Covid-19 serta menyeru mereka untuk kekal positif dalam masa yang mencabar ini.

Individu boleh menghubungi talian pelanggan bank di 03-83175011, manakala pelanggan PMKS boleh menghubungi 03-83175200. Pelanggan perbankan komersial dan korporat pula harus menghubungi pengurus perhubungan masing-masing. Talian tersebut akan dibuka Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 6 petang.

GAMBAR HIASAN

Hubungi bank

Sementara itu, SME Bank juga tidak terkecuali dalam memberi bantuan kepada semua pelanggannya yang terkesan mengikut keperluan perniagaan masing-masing.

“Pelanggan-pelanggan SME Bank boleh menghubungi Pegawai Perhubungan masing- masing untuk pertanyaan lanjut berkenaan akaun pembiayaan anda dan yang berkaitan dengannya. Sebagai pilihan, anda juga boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan SME Bank di talian 03-2603 7700 atau e-mel ke [email protected],” katanya.

RHB Banking Group juga menyediakan bantuan kewangan kepada pelanggan individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat banjir melalui Program Bantuan Banjirnya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Kumpulan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, kesejahteraan pelanggan tetap menjadi keutamaan pihaknya terutamanya pada masa yang sukar ini.

“Saya menggesa pelanggan yang terjejas oleh banjir untuk menghubungi kami bagi mendapatkan bantuan yang bersesuaian,” jelasnya.

Di bawah program tersebut, pelanggan individu yang layak boleh memohon penangguhan bayaran ansuran sehingga enam bulan untuk gadai janji, kemudahan pinjaman dan pembiayaan Amanah Saham Bumiputera (ASB), pinjaman atau pembiayaan peribadi dan sewa beli.

Selain itu, RHB Bank turut menawarkan pengecualian caj pembayaran lewat dan faedah ke atas kad kredit yang terjejas sehingga RM500 dan pengecualian yuran penggantian kad untuk kad debit dan kad kredit.

CIMB komited beri bantuan kepada mangsa banjir. – GAMBAR HIASAN

Salur bantuan

CIMB Group Holding Berhad (CIMB) pula, menerusi cabang tanggungjawab sosial korporatnya (CSR), Yayasan CIMB, telah peruntuk RM2 juta untuk menyediakan bantuan buat mangsa banjir serta sokongan pemulihan selepas banjir.

Pada masa yang sama, di bawah pelan Bantuan Banjir CIMB, CIMB Bank dan CIMB Islamic Bank Berhad akan memberikan pelepasan bayaran selama enam bulan untuk pinjaman dan pembiayaan untuk pelanggan individu dan PKS bagi membantu meringankan beban kewangan mereka.

Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Mohd. Nasir Ahmad berkata, pihaknya amat berempati dengan semua yang telah terjejas akibat banjir baru-baru ini.

“CIMB komited untuk memainkan peranan kami dengan memberikan bantuan banjir dan pembayaran.

“Kami berharap usaha tersebut akan meringankan beban kewangan tambahan yang dialami mangsa banjir, sekaligus menyediakan dana yang diperlukan untuk membantu komuniti yang terjejas membina semula kehidupan mereka.

“Kekerapan cuaca seperti ini juga menunjukkan kepentingan agenda kelestarian terutamanya dalam menangani perubahan iklim,” katanya.

CIMB menjelaskan, bagi pelanggan individu dan PKS, prosesnya telah dipermudahkan dimana pelanggan hanya perlu menyediakan maklumat asas mereka untuk memohon. Selain itu, caj pembayaran lewat dan yuran untuk pelanggan yang terjejas akan dikecualikan.

Bagi pelanggan PKS yang memerlukan tambahan bantuan aliran tunai di samping pelepasan pembayaran, bank juga menawarkan Bantuan Kemudahan Bencana sehingga RM500,000 pada kadar istimewa.

Caj akan dikecualikan untuk penggantian kad debit, kad kredit, permintaan penyata atau penggantian buku simpanan dan cek yang rosak.

CIMB juga akan bekerjasama rapat dengan rakan kongsi insuransnya untuk mempercepatkan pemprosesan tuntutan insurans.

Untuk memohon Pelan Bantuan Banjir CIMB, pelanggan individu boleh menghubungi Pusat Perhubungan CIMB di talian 03-62047788. PKS pula boleh memohon bantuan secara dalam talian di www.cimb.com.my/frap. Manakala, pelanggan korporat boleh menghubungi pengurus perhubungan CIMB untuk membincangkan tentang pilihan bantuan yang ada.

Rakan kongsi insurans dan pengendali takaful CIMB, Berjaya Sompo Insurance Berhad dan Takaful Ikhlas juga telah mengaktifkan talian hotline mereka untuk membantu pemegang polisi.

Sekiranya pelanggan ingin membuat tuntutan kerana terdapat kerugian kepada kenderaan atau rumah yang perlu ditanggung atau mempunyai sebarang pertanyaan, pelanggan boleh menghubungi Berjaya Sompo di talian 1800-18-8010 (24 jam 7 hari seminggu) atau Takaful Ikhlas di talian 03-27239696 ( Isnin hingga Jumaat, 8:30 pagu hingga 5:00 petang).

Untuk maklumat lanjut tentang Pelan Bantuan Banjir CIMB, layari www.cimb.com.my. -UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya