Saham-saham ATech terlebih langgan 20.27 kali - Utusan Malaysia

Saham-saham ATech terlebih langgan 20.27 kali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saham-saham Aurelius Technologies Berhad (ATech) mencatatkan lebih langganan sebanyak 20.27 kali sebelum penyenaraian Kumpulan itu di Papan Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities), dijadual 16 Disember ini.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ATech, Lee Chong Yeow berkata, syarikat menghargani keyakinan para pelabur terhadap ATech, prospek perniagaan dan perancangan masa hadapannya.

Kata beliau, perjalanan syarikat untuk menjadi penyedia rumusan sehenti perkhidmatan perkilangan elektrik (EMS) begitu panjang dan kini membuahkan hasil.

“Sebagai penyedia EMS, kami terdorong oleh maklum balas hebat ke atas tawaran awam permulaan (IPO) yang memberi petunjuk bahawa sentimen pasaran adalah positif untuk momentum pertumbuhan ekonomi terus berkembang, yang penting bagi keseluruhan prospek masa hadapan industri elektrik dan elektronik.” katanya dalam kenyataan.

ATech berkata, Kumpulan itu mahu menjana RM104.73 juta daripada proses IPO tersebut.

Daripada hasil tersebut, sebanyak RM40 juta akan digunakan untuk membeli mesin dan peralatan baharu, RM29.52 juta bagi pembayaran balik pinjaman, RM28.13 juta bagi modal kerja dan RM7.09 juta bagi perbelanjaan penyenaraian.

Chong Yeow berkata, memandang ke hadapan, perancangan perluasan Kumpulan akan melonjakkan pertumbuhan kepada perniagaannya.

“Ini juga adalah sebahagian strategi untuk meningkatkan perkilangan komponen semikonduktor kami dan menaik taraf fasiliti perkilangan kami dengan teknologi Industri 4.0,” jelasnya.

IPO tersebut merangkumi penerbitan sehingga 103,870,000 saham merangkumi:
* Penawaran institusi sehingga 80,961,000 saham IPO untuk institusi Malaysia dan pelabur terpilih, termasuk pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

* Penawaran runcit sebanyak 22,909,000 Terbitan Saham untuk para pengarah dan kakitangan ATech yang layak dan orang perseorangan yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan dan rakyat Malaysia pada harga runcit RM1.36 satu saham terbitan, dibayar secara penuh semasa permohonan.

“Oleh kerana Harga Akhir Runcit bersamaan dengan Harga Runcit RM1.36 sesaham Terbitan, maka tiada pemulangan akan dilakukan bagi pemohon yang berjaya, di bawah Penawaran Runcit.

“Sebanyak 14,253 permohonan bagi 380,958,800 Saham Terbitan dengan nilai sebanyak RM518,103,968.00 telah diterima daripada orang awam Malaysia bagi 17,909,000 Saham Terbitan yang boleh dipohon oleh orang awam Malaysia, yang mewakili kadar terlebih langganan keseluruhan sebanyak 20.27 kali,” jelasnya.

Maybank Investment Bank Berhad merupakan Penasihat Prinsipal bagi IPO, serta Penerbit dan Penaja Jamin Tunggal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN