MAHB catat peningkatan sebanyak 77 peratus atau 1.3 juta penumpang
PETALING JAYA: Rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) merekodkan sejumlah 2.3 juta pergerakan penumpang pada November 2021, melepasi paras dua juta buat kali pertama sejak bermulanya wabak Covid-19 pada April tahun lalu.
Peningkatan sebanyak 77 peratus daripada 1.3 juta yang dicatatkan pada Oktober disumbangkan terutamanya oleh pergerakan penumpang domestik yang terus bertambah baik sejak kelonggaran sekatan perjalanan antara negeri.
Lapangan terbang di Malaysia mencatatkan sejumlah 2.15 juta penumpang domestik bulan lepas, meningkat 82 peratus daripada 1.18 juta penumpang bulan sebelumnya.
Selaras dengan peningkatan pergerakan penumpang, pergerakan pesawat domestik turut melonjak 43 peratus daripada 18,966 pada Oktober kepada 27,084 pada November.
Sementara itu, gabungan Malaysia dan Kumpulan Operasi Turki mencatatkan peningkatan 15 peratus kepada 4.72 juta pergerakan penumpang berbanding Oktober dengan operasi Kumpulan Malaysia menyumbang 49 peratus kepada prestasi keseluruhan.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, permintaan menggalakkan menerusi perjalanan domestik dalam tempoh dua bulan yang lalu merupakan berita baik bukan sahaja untuk sektor penerbangan malah buat rakan kongsi runcit dan makanan dan minuman (F&B).
Ujarnya, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), lebih daripada 63 peratus premis kedai telah beroperasi semula.
“Beberapa kedai juga telah melalui pengubahsuaian besar-besaran dan penempatan semula ke ruang yang lebih besar selaras dengan matlamat penetapan semula komersial, iaitu untuk meningkatkan pengalaman penumpang dan tawaran runcit.
“Bukan sahaja kini lebih luas, tetapi ia juga menggabungkan elemen digital seperti kiosk pesanan sendiri dan perkhidmatan meja melalui kod QR untuk memastikan perkhidmatan yang lebih pantas sambil meminimumkan kontak dengan kakitangan perkhidmatan untuk keselamatan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, pembukaan Lapangan Terbang Mukah di Sarawak pada Jun lalu turut menyumbang kepada peningkatan tersebut.
Dengan kapasiti tahunan lapan kali ganda lebih besar daripada sebelumnya, lapangan terbang baharu itu boleh mengendalikan sehingga 264,000 penumpang setahun. – UTUSAN










