PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) bersama Sinergi Dayang Sdn. Bhd. (Sinergi Dayang), anak syarikat WZ Satu Berhad menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama untuk membangunkan 763 rumah mampu milik di Pahang.
Kerjasama untuk membangunkan rumah teres dua tingkat di Residensi D’Marina Fasa 2 di Kuantan, Pahang itu disasarkan akan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM218 juta.
Projek yang dibahagikan kepada enam fasa yang terdiri daripada 763 unit rumah teres dua tingkat dan komponen lain seperti kemudahan dan infrastruktur ini dijangka bermula pada Julai 2022 dan siap pada 31 Disember 2026.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, selari dengan peningkatan permintaan untuk rumah mampu milik yang berkualiti terutamanya di lokasi-lokasi strategik yang pesat membangun, kerajaan menerusi agensi-agensi di bawah KPKT akan mempergiatkan pembinaan sejajar dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Ujarnya, sasaran yang telah diletakkan ialah untuk membina lebih 500,000 rumah mampu milik di bawah RMK12 dan berharap agensi-agensi kerajaan seperti PR1MA akan terus melaksanakan mandat yang diberikan kepada mereka dengan lebih efisien, efektif dan amanah.
“Buat masa ini, kita tumpu kepada 61 projek dan daripada jumlah tersebut, 34 projek telah selesai manakala 27 lagi projek dalam fasa berbeza.
“Kepimpinan PR1MA telah menggalas tanggungjawab dengan baik dalam menyediakan rumah mampu milik dan selesa untuk rakyat. Kebanyakan pembeli adalah daripada golongan B40 dan M40. Berkemungkinan mereka hanya membeli satu rumah sahaja, jadi amat penting untuk memastikan kualiti perumahan ini demi keselesaan mereka sekeluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan bersama di antara PR1MA dan Sinergi Dayang, di sini semalam.
Dokumen perjanjian telah ditandatangani secara bersama antara Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Mohd. Nazri Md. Shariff dan Ketua Pegawai Eksekutif Sinergi Dayang, Azlan Shah Mohd. Yusoh.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif dan Presiden WZ Satu Bhd., Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memaklumkan, kolaborasi tersebut akan diteruskan ke Fasa 3 bergantung kepada permintaan.
“Kami berbesar hati dengan kepercayaan yang telah diberikan oleh pihak KPKT serta PR1MA. Kami juga berbangga menjadi projek pertama yang diberi tumpuan daripada 94 projek PR1MA, selepas KPKT melaksanakan Laporan Penilaian Wajar buat skim PR1MA.
“Oleh itu, untuk pembangunan bersama Fasa 2, Sinergi Dayang akan menaik taraf reka bentuk bangunan daripada keluasan sedia ada rumah PR1MA seluas 1,500 kaki persegi, kepada 1,882 kaki persegi rumah pasaran.
“Pelan baharu ini membolehkan PR1MA membuat keuntungan yang baik, sekali gus memperbaiki model awal MEBPA yang menjana kerugian,” ujarnya.
Dari segi lokasi, Projek Fasa 2 terletak di Permatang Gaharu, Kawasan Sungai SOI/Sungai Belat, Bunut Rendang, Kuantan, Pahang.
Lokasinya yang strategik membolehkan penduduk mendapat akses mudah ke Jalan Tanjung Lumpur, Jalan Tanah Putih, Jalan Gambang, Jalan Pekan-Kuantan, dan Lebuhraya Pantai Timur, serta pelbagai lokasi dan mercu tanda utama. – UTUSAN










