Petronas umum penemuan gas kedua di Baram - Utusan Malaysia

Petronas umum penemuan gas kedua di Baram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mengumumkan penemuan gas di telaga penerokaan liar Nangka-1 miliknya di Blok SK417 yang terletak di kawasan air cetek Wilayah Baram, kira-kira 180 kilometer dari pesisir pantai Sarawak.

Telaga Nangka-1 berjaya digerudi sedalam 3,758 meter pada September lalu.

Gas manis tersebut ditemui di takungan klastik Kitaran Miosen Tengah ke Lewat VI, membuktikan potensi hidrokarbon di kawasan sekitarnya.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia Petronas, Mohamed Firouz Asnan berkata, kejayaan di telaga Nangka-1 menandakan penemuan gas kedua di Wilayah Baram tahun ini.

Kata beliau, penemuan gas tanpa bahan cemar di telaga tersebut mengesahkan peluang gas manis dalam kawasan tersebut dan seterusnya meningkatkan prospek klastik Baram.

“Penemuan gas kedua ini mencergaskan semula Wilayah Baram yang merupakan sebahagian daripada rantau Delta Baram, menandakan potensi lebih banyak penemuan di keluasan ekar berhampiran.

“Adanya kemudahan sedia ada di kawasan tersebut akan membolehkan Kontraktor Pengaturan Petroleum (PAC) mencipta untung dari penemuan mereka dengan lebih cepat dan murah melalui penyelesaian terikat (tie-back),” katanya dalam kenyataan semalam.

Blok SK417 dikendalikan oleh PTTEP HK Offshore Limited dengan pegangan terlibat sebanyak 80 peratus sementara baki 20 peratus lagi dipegang oleh Petronas Carigali Sdn. Bhd.

Blok tersebut dianugerahkan pada Mac 2018 dalam Pusingan Bidaan Malaysia (MBR) 2017.

Februari lalu, Petronas mengumumkan penemuan gas baharu di telaga penerokaan liar Dokong-1 dalam blok sama di Wilayah Baram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×