fbpx

28 Januari 2022, 7:31 pm

  TERKINI

Penganjuran AKM di KLCC dijamin dengan kawalan terbaik

PENGANJURAN Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang bermula esok akan berlangsung dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi mengekang penularan Covid-19. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengunjung yang berhasrat untuk hadir ke Progam 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) tidak perlu bimbang kerana segala aspek kawalan sudah pun diteliti kerajaan.

Jaminan itu disuarakan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad sebagai mengulas langkah keselamatan sepanjang acara selama empat hari berkenaan.

“Insya-Allah, kita memang menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang amat ketat demi memastikan tiada berlaku kluster penularan wabak Covid-19 ketika program ini,” katanya.

Turut hadiri sidang akhbar khas itu di sini semalam ialah Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu), Jabatan Perdana Menteri, Cheah Hock Koi.

Program di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan bermula Khamis ini bersempena meraikan kejayaan semua kementerian yang mencapai sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI).

Ia turut diadakan sebagai genap tempoh 100 hari pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merujuk gaya kepimpinan beliau itu dengan slogan Keluarga Malaysia.

Acara julung kali tersebut dikelolakan Sepadu yang melibatkan keseluruhan 32 kementerian mempamerkan kejayaan masing-masing selain pelbagai acara lain untuk disertai pengunjung.

 

RODZI MD. SAAD

Mengulas lanjut, Rodzi berkata, mereka yang datang juga tidak perlu bimbang kerana jumlah pengunjung bakal dihadkan daripada kapasiti penuh untuk mengekang jangkitan pandemik.

“Misalnya untuk acara perasmian, cuma 272 tetamu dibenarkan masuk selain 11 kenamaan dalam dewan utama yang sebenarnya boleh memuatkan sejumlah 2,000 orang,” jelasnya.

Begitu juga ujarnya, aras bawah KLCC yang mampu menampung 20,000 orang dan jika ada dibuat gerai ekspo pun boleh mengisi 10,000 orang, namun dihadkan hanya 7,500 orang.

Secara keseluruhan katanya, bilangan pengunjung di kesemua lokasi KLCC yang melibatkan Dewan 1 hingga 6 akan dikawal ketat cuma boleh ada setakat 10,350 orang dalam satu masa.

Langkah tegas itu tambahnya, perlu dikenakan walaupun Kuala Lumpur sudah pun memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara yang membenarkan acara sedemikian dengan jarak fizikal.

Justeru kata Rodzi, semua pengunjung akan disaring dengan teliti di setiap pintu masuk bagi memastikan had pengunjung dipatuhi tanpa kompromi dan mereka wajib lengkap dos vaksin.

“Semua juga mesti memakai pelitup muka sepanjang masa dalam kawasan program ini dan tidak boleh berdiri rapat kurang daripada satu meter untuk elak kesesakan berlaku,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai merancang jadual lebih awal, namun jika barisan terlalu panjang di pintu masuk, mereka wajar mengatur masa pilihan yang kurang padat.

Begitu juga ujarnya, pengunjung kanak-kanak berusia bawah 12 tahun, perlu diiringi ibu bapa yang telah cukup vaksinasi dan tiada bergejala selain mematuhi segala SOP ketat ditetapkan.

Ditanya rasional lokasi program di KLCC, beliau berkata, premis itu dipilih kerana ia agak mudah dikawal dari segi akses dan bilangan pengunjung di samping faktor pengudaraan yang baik.

Bahkan jelasnya, pihak Sepadu turut mengadakan perbincangan serta mendapat nasihat daripada MKN dan Kementerian Kesihatan dengan penyediaan SOP ketat demi menjamin keselamatan pengunjung.

“Sekiranya berlaku penularan wabak, proses sanitasi akan dibuat segera malah pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat juga menyahkuman KLCC setiap hari setelah habis program,” kata Rodzi.

Beliau bagaimanapun optimis, pengunjung tidak perlu bimbang jika mereka kekal mematuhi SOP ditetapkan dengan pengawalan disiplin kendiri yang amat tinggi sepanjang masa.

Dalam nada yakin, beliau berharap pengunjung memanfaatkan program AKM itu sebaik mungkin kerana ia membuktikan usaha serius kerajaan memulihkan semula negara berjalan lancar. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI