Pelaksanaan RFID mudahkan pengguna  - Utusan Malaysia

Pelaksanaan RFID mudahkan pengguna 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi melihat pelaksanaan tol menggunakan teknologi Pengecaman Frekuensi Radio (RFID) yang akan dilaksanakan mulai 15 Januari depan sebagai satu kebaikan kerana ia akan memudahkan pengguna selain menjadikan proses penyelenggaraan lebih efisien.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, ia akan memudahkan pengguna kerana tidak perlu menggunakan peranti yang berbeza ketika melakukan perjalanan khususnya untuk yang merentasi pelbagai lebuh raya.

“Seperti yang berlaku sekarang, mempunyai RFID sahaja tidak memadai dan kita terpaksa  mempunyai Touch ‘n Go atau SmartTag juga.

“Dengan pelaksanaan itu, pengguna tidak lagi perlu mencari lorong yang sesuai ketika menghampiri tol sekaligus akan melancarkan perjalanan semua orang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, ujarnya, ia juga akan memudahkan pengendali lebuhraya memandangkan mereka hanya perlu mengendali satu sistem sahaja berbanding pelbagai sistem yang ada sekarang.

Bagaimanapun, katanya, penyediaan tag RFID harus dipastikan lancar dan dilakukan secara meluas tanpa menyulitkan pengguna.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff  yakin, kesan positif daripada pelaksanaan itu akan dapat dilihat dengan serta-merta setelah ia dilaksanakan. 

Jelasnya, kaedah tambah nilai tanpa tunai melalui penggunaan Touch ‘n Go eWallet tanpa perlu lagi mengunjungi kaunter tambah nilai juga akan melancarkan urusan pengguna serta mengurangkan kesesakan di tol.

“Namun, saya berharap mod pembayaran melalui beberapa pilihan eWallet yang lain akan ditambah bagi mengelakkan perbalahan tentang monopoli atau kronisme,” katanya.

Transaksi tol menggunakan teknologi RFID akan dilaksanakan kepada kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) di laluan Juru, Pulau Pinang hingga Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) mulai 15 Januari 2022.

Kementerian Kerja Raya dalam kenyataan memaklumkan, pelaksanaan itu akan menyaksikan seluruh jaringan infrastruktur lebuh raya bertol di Pantai Barat Semenanjung akan menyediakan lorong RFID.

Katanya, ia bagi memberi perkhidmatan yang lebih mudah, selamat dan pantas kepada pengguna lebuh raya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya