PETALING JAYA: Penyanyi, Azmi Saat menyeru majikan supaya tidak ragu-ragu membuka peluang pekerjaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.
Azmi atau Khairul Azmi Muhammad Saat, 39, berkata, golongan OKU juga mampu bekerja dengan baik dan menjalani kehidupan aktif seperti individu lain.
“Saya cuma ingin bercerita bahawa orang buta juga cergas. Kami bersukan. Kami pantas kalau di tempat yang sudah biasa,” katanya menerusi satu hantaran Threads miliknya.
Tambah Azmi yang juga merupakan vokalis kumpulan Caliph Buskers, perkara itu dibuktikan menerusi satu video yang memaparkan dirinya menuruni tangga dengan pantas.
“Video itu bukan disunting. Memang saya sengaja turun tangga laju.
“Jadi, jangan ragu kalau ingin buka peluang kerja kepada kami. Memang awalnya akan lambat sikit sebab belum biasa,” jelasnya.
Dalam masa sama, Azmi turut menekankan mengenai keupayaannya bergerak pantas walaupun tidak dapat melihat.
“Kalau dah mahir, pelumba kereta nombor satu dunia pun kalah. Tapi dia kena tutup mata juga,” katanya berseloroh.
Terdahulu, Azmi berkongsi video dirinya menuruni tangga dengan laju menerusi satu hantaran di Threads.










