
Jumlah perdagangan negara turut melonjak
MALAYSIA melalui jalan yang berliku sepanjang 2021 apabila ancaman pandemik Covid-19 terus menghantui pertumbuhan ekonomi. Walau bagaimanapun, prestasi beberapa sektor yang terkesan teruk akibat pandemik dapat diimbangi, terutamanya oleh prestasi perdagangan dan harga komoditi yang memberangsangkan.
Pada November, jumlah perdagangan negara mencatatkan nilai tertinggi baharu pada RM205.5 bilion, peningkatan 34.9 peratus tahun ke tahun. Ia berikutan pertumbuhan dalam kedua-dua spektrum import dan eksport.
Eksport mencatatkan peningkatan 32.4 peratus tahun ke tahun pada bulan tersebut hasil permintaan luaran yang melonjak dari Asia Tenggara, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah. Ia merupakan peningkatan eksport paling pesat dalam tempoh enam bulan. Nilai eksport juga berada pada paras lebih RM110 bilion untuk tiga bulan berturut-turut.
Import pula menokok 38 peratus tahun ke tahun, dipacu oleh peningkatan import produk elektrik dan elektronik (E&E), petroleum dan kimia. Peningkatan dalam import menguncupkan lebihan dagangan daripada RM26.2 bilion pada Oktober kepada RM18.9 bilion pada November.
Menurut MIDF Research, peningkatan import mencerminkan peningkatan permintaan domestik hasil pembukaan semula ekonomi.
Disebabkan pertumbuhan yang kukuh dalam tempoh beberapa bulan ini, MIDF Research meningkatkan unjuran pertumbuhan eksport dan import negara untuk 2021 kepada 24.5 peratus dan 23 peratus, berbanding unjuran awal 19.8 peratus dan 18.9 peratus masing-masing.
“Prestasi perdagangan asing lebih baik berbanding jangkaan dan ini akan menyumbang secara positif kepada pemulihan ekonomi dalam suku keempat 2021. Sementara Malaysia memperoleh manfaat daripada pertumbuhan berterusan dalam permintaan luaran, kelembapan di China dan sekatan Covid-19 yang lebih ketat di negara lain merupakan antara risiko yang boleh memberi kesan kepada unjuran eksport.
“Walau bagaimanapun, kami menjangkakan eksport terus bertumbuh dalam beberapa bulan ini dipacu permintaan kukuh produk E&E, petroleum dan minyak sawit. Sementara perbelanjaan domestik terus berkembang dan aktiviti perniagaan makin baik, kami menjangkakan import juga terus berkembang,” katanya.
Namun begitu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berpendapat, prestasi perdagangan yang baik semata-mata tidak bererti ekonomi akan pulih dengan lancar.
Kata beliau, pelbagai dimensi ekonomi turut perlu diambil kira dengan komprehensif seperti pelaburan langsung asing (FDI), pengwujudan pekerjaan baharu, pengurangan pengangguran, peningkatan upah benar serta penstabilan harga.
“Peningkatan nilai dagang ini merupakan satu isyarat bahawa keadaan normal sudah kembali dengan pembukaan sempadan dan Malaysia sebagai ekonomi yang terbuka memperolehi pulangan awal.
“Namun, harus diingat bahawa nilai dagangan semata tidak boleh dianggap sebagai petanda ekonomi akan pulih. Dengan kejadian banjir yang menimpa Lembah Kelang yang merupakan nadi ekonomi negara, serta beberapa kawasan di Pahang, ia sedikit sebanyak menggugat akan menggugat pertumbuhan dan pemulihan ekonomi negara,” katanya.

PRESTASI KOMODITI
Harga minyak sawit mentah (MSM) mencapai paras tertingginya dalam sejarah 19 November lalu pada RM5,429 setiap tan. Nilai tersebut lebih tinggi berbanding kemuncak peningkatan harganya pada 2011 (RM3,927) dan 2008 (RM4,203).
Malah, harga MSM berada di atas paras RM5,000 setiap tan selama lebih dua bulan, bermula pada 8 Oktober sehingga 14 Disember lalu sebelum kembali melepasi paras tersebut bermula 24 Disember lalu.
Peningkatan harga MSM sepanjang 2021, menurut MIDF Research, disumbangkan oleh kekurangan bekalan yang disebabkan oleh pertumbuhan pengeluaran yang perlahan.
Katanya, perkara tersebut dipengaruhi oleh masalah kekurangan buruh memandangkan sektor perladangan negara mempunyai kebergantungan sehingga 70 peratus kepada buruh asing selain pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Dari segi harga, kami menjangkakan harga MSM berkemungkinan mampu mengekalkan momentumnya sekurang-kurangnya sehingga suku pertama 2022, disokong oleh bekalan inventori yang ketat dalam industri perladangan disebabkan kitaran pengeluaran minyak sawit yang rendah pada lewat suku keempat sehingga awal suku pertama.
“Walau bagaimanapun, kami meramalkan harga MSM akan melemah pada separuh kedua 2022 berdasarkan jangkaan pemulihan pengeluaran apabila pekerja asing mula kembali ke dalam industri perladangan Malaysia.
“Mengambil kira semua faktor, kami menjangkakan harga MSM pada 2022 adalah pada RM3,300 setiap tan,” katanya.
Sementara itu, Baharom menjangkakan harga MSM yang lebih tinggi pada 2022, iaitu pada RM3,700.
Kata beliau, peningkatan harga MSM sepanjang 2021 memberikan kesan yang agak positif kepada negara namun peningkatan tersebut dijangka mengalami pembetulan pasaran.
“Harga MSM yang semakin tinggi akan mengurangkan permintaan. Begitu juga pada suku terakhir tahun ini, apabila ketiadaan buruh (menyukarkan industri) memenuhi permintaan tersebut.
“Malaysia harus melihat kepada pasaran baharu selain daripada India dan China. Kita juga perlu mempelbagaikan hasil hiliran yang boleh menambah nilai dan mewujudkan permintaan baharu,” katanya. – UTUSAN










