Melengkapkan ekosistem kewangan Islam - Utusan Malaysia

Melengkapkan ekosistem kewangan Islam

Kemudahan i-Sayang bertujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

Berdasarkan laporan tanda aras ICD-Refinitiv Islamic Finance Development Indicator yang yang diterbitkan pada November 2021, Malaysia telah disenaraikan pada kedudukan pertama dalam usaha pembangunan sistem kewangan Islam.

Laporan ini membuktikan bahawa Malaysia adalah di antara negara yang mempunyai sistem kewangan Islam yang terbaik di dunia. Ini dicapai hasil kerja sama erat dan cakna setiap pemegang taruh membangunkan kewangan Islam. Ianya bukan sahaja diterajui oleh Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan institusi-institusi kewangan Islam, malah institusi-institusi lain juga telah menggembleng tenaga dalam usaha untuk membentuk ekosistem kewangan Islam yang menyeluruh, canggih dan mampan.

Sebagai contoh, dana kekayaan berdaulat negara, Khazanah Nasional, sering menerbitkan sukuk-sukuk yang berinovasi. Bursa Malaysia pula menyediakan kemudahan urus niaga komoditi yang diterima pakai secara meluas oleh institusi kewangan Islam dalam menawarkan produk dan perkhidmatan mereka.

Sementara itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja memberi pilihan kepada ahlinya untuk melabur di dalam Skim Simpanan Shariah. Secara keseluruhan, institusi-institusi ini memainkan peranan dalam melengkapkan lagi sektor perbankan dan pasaran modal Islam.

Sektor Takaful juga telah berjaya di bangunkan dengan wujudnya 18 pengendali takaful di Malaysia. Menurut Persatuan Takaful Malaysia (MTA), industri takaful sedang berkembang pesat di mana perniagaan takaful keluarga telah meningkat sebanyak 46.7 peratus pada suku pertama 2021 berbanding dengan suku pertama 2020, iaitu sebanyak RM4.68 billion.

Pada masa kini, usaha pembangunan industri takaful banyak tertumpu kepada inisiatif yang dilaksanakan oleh pengendali-pengendali takaful sendiri. Walau bagaimanapun, penawaran produk takaful juga boleh dipelbagaikan melalui daya usaha proaktif institusi-institusi yang lain.

Misalnya, umum mengetahui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menawarkan Sistem Insurans Pekerjaan (SIPS). SIPS dilaksanakan bagi menyediakan satu jaringan keselamatan sosial untuk membantu golongan pekerja yang telah hilang punca pendapatan.

Sehingga 31 Disember 2020, jumlah sumbangan majikan kepada SIPS adalah sebanyak RM650 juta. Matlamat SIPS, secara dasarnya, adalah selari dengan nilai-nilai Maqasid al-Shariah, tetapi ianya berlandaskan sistem insurans konvensional.

Oleh itu, satu usaha untuk mewujudkan Skim Takaful Pekerjaan wajar dipertimbangkan oleh pihak Perkeso. Ini akan memberi pilihan kepada majikan, terutamanya institusi-institusi kewangan Islam, untuk menyumbang secara patuh Shariah. Secara langsung, ianya juga akan merancakkan lagi inisiatif membangunkan sektor Takaful, melengkapkan lagi ekosistem kewangan Islam Malaysia dan mengekalkan kebitaraannya. Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

PENULIS adalah Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN