PETALING JAYA: Kos mengurus negara perlu dikurangkan bagi mengatasi masalah hutang negara selepas meluluskan Bajet 2022 yang disifatkan sebagai belanjawan terbesar negara, menurut Pengerusi Biro Ekonomi Pusat Parti Pejuang Tanahair, Armin Baniaz Pahamin.
Beliau yang juga Ahli Majlis Eksekutif Pusat Pejuang Tanahair berkata, langkah itu penting kerana belanjawan berjumlah RM332.10 bilion telah diluluskan tanpa apa-apa langkah drastik yang diperkenalkan untuk mengurangkan kos mengurus dan hutang yang telah meningkat.
Ujarnya, belanjawan juga diluluskan tanpa hubung kait dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), malah tiada sasaran yang menarik yang boleh menambah baik hasil negara terutamanya untuk menjelaskan pembayaran hutang yang tinggi dalam RMK12.
“Kos mengurus negara berjumlah RM233.5 bilion perlu dikurangkan untuk mengatasi masalah hutang negara yang sangat membimbangkan. Justeru, kerajaan perlu menghentikan semua lantikan jawatan bertaraf Menteri, mengurangkan jumlah Kementerian dan jumlah Menteri, Timbalan Menteri, Penasihat Perdana Menteri dan Menteri serta pegawai-pegawai Khas Menteri.
“Kerajaan juga harus mengkaji semula dan mengubah kelayakan pencen, ganjaran dan peruntukan khas ahli atau anggota pentadbiran.
“Ini kerana, perbelanjaan tanggungan pencen pada 2020 berjumlah RM26.392 bilion dan jumlah ini akan semakin meningkat setiap tahun dan mungkin berganda dengan suasana politik yang tidak stabil sekiranya tidak dihentikan sekarang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut berpendapat, had maksimum perlu diletakkan untuk segala kemudahan kepada menteri contohnya, pembayaran kereta sewa dari Spanco sebanyak RM2,000 sebulan.
“Malah, perbelanjaan seperti kereta sewa Proton Perdana untuk menteri berjumlah RM4,854.41 sebulan juga adalah satu kos yang tinggi dan melampau.
“Kerajaan boleh berunding untuk mengurangkan kos sewa bulanan kereta Proton Perdana untuk mengurangkan kos. Dengan menukar kereta Vellfire untuk kos sewa yang hampir sama membuktikan kerajaan langsung tidak prihatin untuk mengurangkan kos pentadbiran,” ujarnya.
Tambah beliau, perbelanjaan yang dilihat sebagai suatu pembaziran seperti kos duta-duta dan jawatan-jawatan bertaraf menteri termasuk jawatan Ketua Pembangkang bertaraf Menteri disamping melantik jumlah menteri, timbalan menteri, penasihat Perdana Menteri, penasihat dan pegawai khas menteri yang ramai, serta jumlah kementerian yang banyak perlu diperhalusi.
“Kos mengurus yang tinggi dan beban hutang ini bukan hanya menjejaskan ekonomi negara, malah akan merompak masa depan rakyat dari segi manfaat-manfaat pendidikan, kesihatan dan kelestarian ekonomi,” jelasnya. – UTUSAN










