KDNK 2021 mungkin kurang 3 peratus - Utusan Malaysia

KDNK 2021 mungkin kurang 3 peratus

SEBAHAGIAN kenderaan yang musnah dalam kejadian banjir besar melanda sekitar Shah Alam, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bencana banjir perlahankan pemulihan ekonomi

PETALING JAYA: Negara mungkin hanya mencapai 3.0 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini selepas pemulihan ekonomi terenjat akibat bencana banjir yang melanda Lembah Klang dan beberapa negeri, dalam suku keempat ini.

Pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, perkara itu sekali gus merencatkan unjuran KDNK negara yang dibuat Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini iaitu pada 4.5 peratus.

“Pada pendapat saya, pemulihan negara bagi suku keempat agak sukar dengan bencana banjir teruk yang berlaku di Lembah Klang yang merupakan lokasi tumpuan perindustrian. Negara juga baru sahaja membuka sekatan perjalanan pada Oktober lalu, jadi tempoh tiga bulan ini amat singkat untuk melihat pemulihan yang positif.

“Justeru, unjuran KDNK 2021 pada 4.5 peratus amat mustahil. Kemungkinan KDNK secara keseluruhan hanya kurang daripada 3.0 peratus. Bagi suku keempat pula, mungkin KDNK mencapai 8.0 peratus dan itu semua bergantung kepada keyakinan pengguna untuk berbelanja,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Mengulas mengenai kesan banjir besar yang berlaku, Barjoyai memaklumkan, anggaran kerugian bagi isi rumah dan semua sektor yang terkesan adalah sekitar RM20 bilion.

Jelasnya, kesan inflasi juga dijangka meningkat kepada 3.2 peratus berkait dengan kos logistik yang sudah tentu melonjak berikutan masalah penghantaran barangan yang sukar dijalankan dalam keadaan semasa.

“Kenaikan harga barang sudah boleh dijangkakan terutamanya makanan protein, sayur-sayuran dan barangan kering disebabkan kekurangan bekalan di pasaran dan kos logistik.

“Selain itu, kadar pertukaran asing juga dijangka naik sehingga 4.2 peratus mengakibatkan ringgit menjadi lemah sekali gus barangan import menjadi lebih mahal. Perkara ini sudah tentu akan menjadi masalah kerana kita mengimport kira-kira 82 peratus keperluan dalam negara daripada negara luar,” ujarnya.

Namun jelas beliau, volum perniagaan dalam beberapa aspek contohnya AEON kredit, barangan perabot dan barangan elektrik akan meningkat kerana mangsa banjir membuat pembelian bagi menukar barangan mereka yang rosak.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Nurazilah Zainal berkata, banjir di Lembah Klang akan membawa kesan buruk terhadap pertumbuhan ekonomi sekiranya berlarutan dan sejauh mana ekonomi terkesan bergantung sepenuhnya terhadap berapa lama krisis banjir berlaku.

“Sekiranya lebih dari seminggu, ini akan mengganggu rantaian bekalan dan pengagihan barangan pengguna. Ini kerana, Selangor dan Kuala Lumpur merupakan penyumbang terbesar kepada KDNK negara iaitu sekitar 40 peratus.

“Kerajaan perlu cepat menangani krisis ini agar tidak mengganggu fasa pemulihan negara menjelang 2022 nanti,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN