Intel labur RM30 bilion - Utusan Malaysia

Intel labur RM30 bilion

PATRICK Gelsinger menerangkan mengenai pelaburan Intel dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman (kiri).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 Wujudkan lebih 9,000 peluang pekerjaan

KUALA LUMPUR: Pelaburan syarikat pengeluar cip terbesar dunia, Intel Corp. berjumlah RM30 bilion di Malaysia dijangka mewujudkan lebih 9,000 pekerjaan di negara ini.

Fasiliti pembungkusan maju di Pulau Pinang itu dijangka akan memulakan operasi pada 2024.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelaburan terbaharu itu menyokong peranan Malaysia sebagai hab terkemuka dalam rangkaian pembuatan global Intel.

Ujarnya, pelaburan tersebut bakal membuka peluang sehingga 4,000 pekerjaan baharu di Intel dan 5,000 pekerjaan bagi sektor pembinaan fasiliti tersebut.

“Pelaburan utama melalui anak syarikat Intel Electronics (Malaysia) Sdn. Bhd. ini sejajar dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang akan memastikan Malaysia kekal di hadapan sebagai hab global untuk pelaburan berkualiti sambil mencipta pekerjaan bernilai tinggi.

“Pelaburan ini akan mengukuhkan peranan negara sebagai kawasan rangkaian pengeluaran global Intel sekali gus meningkatkan rantaian nilai pemindahan teknologi dan pembinaan kapasiti.

“Malaysia akan terus menyokong dasar holistik pertumbuhan kukuh dan mampan untuk memastikan perkembangan dalam memupuk teknologi hijau, ekonomi digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0),” katanya dalam majlis pengumuman pelaburan tambahan Intel di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Intel Corp., Patrick Gelsinger memaklumkan, pelaburan itu akan membina ekosistem yang kaya dalam membina keupayaan teknologi keseluruhan pasaran Malaysia.

“Kami akan mengembangkan kerja penyelidikan dan pembangunan di negara ini. Pelaburan ini juga akan menyokong pengeluaran pembungkusan maju Intel yang dijangka akan mula beroperasi pada 2024,” ujarnya.

Pada separuh pertama 2021, sektor elektrik dan elektronik (E&E) mencatatkan RM47.1 bilion dalam pelaburan yang diluluskan, peningkatan ketara berbanding RM5 bilion dalam tempoh yang sama pada 2020.

Pelaburan asing menerajui pelaburan yang diluluskan dalam industri itu, mewakili hampir 98 peratus atau RM46 bilion.

Projek yang diluluskan itu dijangka menjana lebih 9,700 pekerjaan baharu, termasuk jawatan mahir untuk jurutera, pakar pengawal kualiti dan juruteknik berkemahiran tinggi.

Pada 2020, eksport produk elektrik dan elektronik Malaysia direkodkan pada RM386.29 bilion, menyumbang 39.3 peratus daripada jumlah eksport negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN