PETALING JAYA: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan pada November 2021 meningkat 12.6 peratus berbanding penurunan 3.0 peratus yang dicatatkan pada bulan sama tahun lalu, terutamanya didorong oleh lonjakan kos bahan mentah, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan dalam IHPR pengeluaran tempatan pada bulan itu disumbangkan oleh indeks perlombongan yang melonjak 71.2 peratus berbanding kejatuhan 45.8 peratus pada November 2020.
“Peningkatan dalam harga minyak mentah (79.8 peratus) dan gas asli (38.2 peratus) telah menyumbang kepada kenaikan itu.
“Indeks pertanian, perhutanan dan perikanan juga meningkat namun pada kadar yang perlahan iaitu 19.1 peratus, sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan dalam indeks buah tandan segar kelapa sawit (25.2 peratus), ayam (18.1 peratus) dan telur ayam (8.3 peratus).
“Tambahan pula, indeks pembuatan meningkat 8.4 peratus pada November 2021 disumbangkan oleh indeks bagi subsektor pembuatan produk petroleum bertapis (26.2 peratus) dan pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (21.9 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Ujarnya, indeks bekalan air meningkat secara marginal 0.2 peratus. Walau bagaimanapun, indeks bekalan elektrik dan gas menurun 0.3 peratus.
Melihat kepada perbandingan bulan ke bulan, katanya, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 1.4 peratus pada November tahun ini.
Menurut Mohd. Uzir, peningkatan itu disumbangkan oleh kenaikan 5.9 peratus dalam indeks pertanian, perhutanan dan perikanan, terutamanya disebabkan oleh indeks penanaman tanaman kekal (8.3 peratus), penanaman tanaman tidak kekal (3.0 peratus) dan pengeluaran ternakan (1.2 peratus).
“Indeks buah tandan segar kelapa sawit kekal meningkat berikutan kebimbangan buruh migran yang tidak mencukupi di ladang-ladang di Malaysia.
“Sebaliknya, harga Minyak mentah merosot berikutan penemuan varian COVID-19 baharu iaitu Omicron di mana buat pertama kalinya dikesan di Afrika Selatan yang menyebabkan kebimbangan penyebarannya sekali gus memperlahankan permintaan terhadap komoditi tersebut.
“Itu menyumbang kepada penurunan 2.3 peratus dalam indeks perlombongan berbanding peningkatan 5.5 peratus yang dicatatkan pada bulan lepas,” katanya lagi.
Selain itu, Mohd. Uzir memberitahu, indeks pembuatan meningkat 1.3 peratus, antaranya disebabkan oleh peningkatan indeks bagi subsektor pembuatan minyak dan lemak sayuran dan haiwan (2.9 peratus), pembuatan produk petroleum bertapis (2.4 peratus), pembuatan kimia asas, baja dan sebatian nitrogen, plastik dan getah sintetik dalam bentuk primer (1.2 peratus) dan pembuatan besi dan keluli asas (1.1 peratus).
Indeks utiliti menunjukkan indeks bekalan elektrik dan gas merosot 0.3 peratus, manakala, indeks bekalan air meningkat 0.9 peratus.
Mengulas mengenai harga komoditi yang melambung tinggi baru-baru ini, beliau berkata, memandangkan cuaca sejuk, angin kencang ditambah dengan hujan lebat di kebanyakan tempat di Malaysia menjadi salah satu faktor kenaikan kos komoditi terutamanya sayur-sayuran.
“Bilangan pekerja yang tidak mencukupi di kawasan ladang juga mengurangkan bilangan keluaran, seterusnya mengakibatkan gangguan bekalan dan menyebabkan kenaikan harga.
“Baru-baru ini, hujan lebat menyebabkan banjir besar di beberapa negeri. Banjir itu memusnahkan kebanyakan tanaman dan kemudiannya boleh mengakibatkan gangguan dalam rantaian bekalan di mana ianya mendorong kepada kecenderungan tekanan ke atas harga,” katanya. – UTUSAN










