China galak pembangunan sihat pasaran hartanah - Utusan Malaysia

China galak pembangunan sihat pasaran hartanah

CHINA terus menggerakkan usaha untuk memulihkan sektor hartanah negara itu yang terjejas akibat krisis Evergrande sebelum ini. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHANGHAI/BEIJING: Bank pusat China berikrar untuk menggalakkan pembangunan sihat untuk pasaran hartanah negara itu melalui perlindungan hak pembeli rumah dan lebih memenuhi keperluan kehidupan mereka yang munasabah.

Kenyataan oleh Bank Rakyat China (PBOC) itu dibuat berikutan mesyuarat jawatankuasa dasar kewangan untuk suku keempatnya Sabtu lalu yang merupakan petanda terbaharu bahawa penguatkuasa undang-undang China akan melonggarkan sedikit sekatan dalam sektor hartanah bagi mengelakkan kejatuhan.

Menyampaikan mesej sama seperti dalam Persidangan Kerja Ekonomi Pusat tahunan pada awal Disember lalu, PBOC berkata, pihaknya akan mengutamakan kestabilan politik dalam persekitaran luaran yang semakin teruk serta pandemik global yang tidak berkesudahan.

Penganalisis Goldman Sachs dalam nota kajiannya berkata, PBOC semakin berhati-hati dengan unjuran pertumbuhannya, menandakan keinginan untuk menggunakan alat dasar yang luas dan bersasar bagi menyokong ekonomi benar dengan cara yang lebih proaktif serta merendahkan nadanya untuk sektor hartanah.

“Kami menjangka bank pusat akan menyuntik lebih banyak kecairan jangka panjang melalui pemotongan nisbah keperluan rizab (RRR) dan pelbagai kemudahan pinjaman.

“Perbelanjaan fiskal atas belanjawan akan lebih menyokong pertumbuhan berbanding 2021 dan kerajaan tempatan akan melonggarkan dasar hartanah di peringkat tempatan,” katanya.

Menurut PBOC, pihaknya akan mengekalkan fleksibeliti dan kesesuaian dasar kewangannya serta kecukupan kecairan.

Katanya, ia akan memperkukuh sokongan kepada ekonomi benar dengan kelebihan kepada syarikat-syarikat kecil.

Bank pusat itu turut mengulangi, pihaknya akan memperdalam reformasi pasaran mata wang asing dan meningkatkan fleksibeliti kadar tukaran yuan sementara terus memberi panduan kepada syarikat dan institusi kewangan untuk menjadi “neutral risiko”.

Sementara itu, keuntungan firma industri China tumbuh dalam kadar perlahan pada November, menurut biro statistiknya semalam.

Ia berikutan tekanan akibat harga tidak menentu beberapa bahan mentah, pasaran hartanah yang menyusut dan permintaan pengguna yang lemah.

Keuntungannya meningkat 9.0 peratus pada November kepada 805.96 bilion yuan (RM526.73 bilion), menyusut daripada 24.6 peratus peningkatan yang dilaporkan pada Oktober. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN