BIMB Investment lancar dana BGSEAIT - Utusan Malaysia

BIMB Investment lancar dana BGSEAIT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: BIMB Investment Management Berhad (BIMB Investment), anak syarikat milik penuh Bank Islam Malaysia Berhad telah melancarkan BIMB-ARABESQUE Global Shariah-ESG AI Technology Fund (BGSEAIT) untuk memberikan pulangan pelaburan di dalam ekuiti teknologi global patuh syariah.

Dana itu memanfaatkan trend pasaran teknologi yang kukuh menggunakan penyelidikan dan teknologi kecerdasan buatan (AI) terkini oleh Arabesque AI, unit perniagaan kecerdasan buatan Arabesque Group.

MOHAMED RIDZA MOHAMED ABDULLA

Pengerusi BIMB Investment, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla berkata, pandemik Covid-19 telah memainkan peranan penting dalam mengalihkan amalan pengguna dan perniagaan ke arah menyepadukan sistem teknologi digital yang lebih baik di dalam aktiviti masing-masing.

“Peralihan sebegini telah meningkatkan prestasi sektor teknologi sejak dua tahun yang lalu dan kami menjangkakan ia akan terus mengekalkan momentum pertumbuhan di dalam sektor tersebut untuk beberapa tahun yang akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment, Najmuddin Mohd. Lutfi berkata, BGASEAIT berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan prospek pertumbuhan berdaya tahan yang terdapat di dalam sektor teknologi daripada pasaran tempatan dan asing.

Ujarnya, dana itu menyediakan para pelabur saluran pelaburan tambahan untuk mencapai peningkatan modal dalam jangka masa sederhana hingga panjang.

“Menerusi BGASEAIT, pelabur berpotensi untuk meningkatkan pendedahan portfolio pelaburan mereka kepada saham-saham berkaitan teknologi,” katanya.

BGSEAIT akan melabur sekurang-kurangnya 70 peratus dan sehingga 98 peratus di dalam ekuiti tersenarai dan sekuriti berkaitan ekuiti syariah di Malaysia dan syarikat asing di mana pihak berkuasa kawal selia adalah daripada ahli biasa atau ahli bersekutu Pertubuhan Suruhanjaya Sekuriti Antarabangsa (IOSCO) dan bursa adalah ahli atau ahli gabungan Persekutuan Bursa Dunia (WFE).

Dana itu menggunakan pendekatan kuantitatif yang didorong oleh teknologi kecerdasan buatan yang akan diimbang semula pada setiap bulan bagi kedua-dua sekuriti tempatan dan asing yang diperbadankan di dalam dana.

Buat masa ini, dana itu ditawarkan di dalam mata wang ringgit dan dolar Amerika Syarikat (AS).

Pelabur kini boleh melanggan dana itu dengan jumlah pelaburan permulaan serendah RM500 dan AS$500 (RM2,113) dengan pelaburan tambahan bermula pada jumlah minimum RM100 dan AS$100 (RM423). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya