Bahulu, peneram NAB mahu tembusi pasaran Thailand - Utusan Malaysia

Bahulu, peneram NAB mahu tembusi pasaran Thailand

NOR Azizah Amri menunjukkan kuih tradisional bahulu dan peneram dihasilkan oleh NAB Food Industries yang mahu dipasarkan ke luar negara khususnya Thailand. – UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Selepas menero­kai pemasaran platform digital semasa tempoh pandemik Covid-19 tahun lalu, pengusaha kuih tradisional bahulu dan peneram yang terkenal di daerah Kerian, Nab Food Industries (NAB) mahu melebarkan pasaran ke Thailand.

Pengurus NAB, Nor Azizah Amri, 49, berkata, beliau sedang mempersiapkan produknya untuk mencuba nasib memasuki pasaran Thailand pada hujung bulan ini.

“NAB telah lama bercita-cita untuk memasuki pasaran global dan kini platform untuk memasarkan produk ini ke negara jiran di sebelah Utara telah terbuka.

“Tentunya peluang keemasan ini tidak akan dilepaskan begitu sahaja,” katanya di sini baru-baru ini.

Memiliki premis di Jalan Raja Syed Thauphy 2, Bagan Serai, Nor Azizah berkata, dengan keupayaan mesin baharu yang mampu menghasilkan 10,000 biji bahulu dalam tempoh lapan jam, beliau yakin dapat memenuhi permintaan sedia ada termasuk untuk dieksport ke Thailand.

Katanya, sebelum ini syarikat membuat bahulu dan peneram secara manual dan memasak­nya menggunakan ketuhar industri bersaiz sederhana.

“Ketika itu terlalu terhad untuk kami menyiapkan tempahan pelanggan. Apabila mesin yang ditempah telah sampai, kini NAB berupaya untuk menghasilkan 600 biji bahulu dalam tempoh 18 minit.

“Kita percaya dengan keupayaan yang ada ini, kita mampu memenuhi permintaan pe­langgan,” katanya.

PEKERJA NAB Food Industries membungkus bahulu ke dalam plastik untuk dipasarkan. – UTUSAN/MAT KAMAL ABAS

Menurutnya, selain menggunakan platform media sosial, syarikat itu juga memasarkan produk di platform digital lain seperti Shopee untuk pasaran dalam negara.

Kata Nor Azizah, NAB mempunyai kiosk jualan di Kulim, Kuala Kangsar, Ipoh, Taiping dan Balik Pulau, Pulau Pinang.

“Syarikat merangka pelan bagi mencapai matlamat untuk mewujudkan satu kiosk jualan di setiap daerah di negara ini supaya pelanggan dapat menikmati kuih tradisional bahulu dan peneram yang dihasilkan oleh NAB ketika masih panas,” katanya.

Jelasnya, selain menjaga kualiti produk, syarikat juga menjaga kualiti bungkusan jenama produknya.

“Kami menggunakan bungkusan yang berkualiti dan menarik supaya pelanggan tidak malu untuk menjadikan produk keluaran NAB ini sebagai cen­deramata untuk sebarang majlis,” katanya.

NAB memiliki Sijil Halal dan Sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI)yang diperoleh lapan tahun lalu untuk produk-produk keluarannya.

Syarikat itu bermula kira-kira 10 tahun lalu, dengan perniagaan kuih tradisional bermodalkan RM500 sebagai peniaga kuih tradisional tepi jalan.

Muncul juara pertandingan membuat kuih tradisional menjadi inspirasi sehingga wujud­nya syarikat ini.

Dengan semangat moto ‘pantang menyerah sebelum berhasil’, Nor Azizah terus membina perniagaannya sehingga produknya menembusi Singapura sebelum wabak Co­vid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN