Roti Ronda imbau nostalgia peniaga roti benggali - Utusan Malaysia

Roti Ronda imbau nostalgia peniaga roti benggali

NUR FATIHAH ROSLI (tudung biru) menunjukkan roti yang diletakkan di dalam kereta sebelum dibawa oleh ejen untuk dijual di sekitar negeri ini ketika ditemui di Roti Ronda, Taman Wang Seri, Arau, Perlis baru-baru ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENULARAN wabak Covid-19 sejak hampir dua tahun lalu menyebabkan ramai terkesan teruk termasuk hilang sumber pendapatan.

Namun dalam tempoh tersebut, ramai peniaga khususnya mencari pelbagai idea kreatif bagi memastikan kesinambungan perniagaan dalam tempoh serba mencabar itu.

Mengambil inspirasi serta mengimbau nostalgia peniaga roti benggali pada zaman dahulu yang masuk ke kampung-kampung dan kawasan perumahan untuk menjual produk tersebut, mendorong seorang wanita menghasilkan roti jenama sendiri dan memasarkan secara terus kepada para pelanggan di sekitar negeri ini sehingga ke depan pintu rumah masing-masing.

Pemilik perniagaan Roti Ronda, Nur Fatihah Rosli, 26, berkata, perniagaan roti tersebut diusahakan sejak Disember tahun lalu.

Katanya, dia mengambil inisiatif mengusahakan perniagaan tersebut selepas perniagaan karipap ibunya, Noriza Abdul Majid, 55, yang diletakkan di kiosk di stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Arau dan Padang Besar terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

PEKERJA Roti Ronda menyediakan doh roti di Taman Wang Seri, Arau, Perlis baru-baru ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI

Graduan diploma Akauntan dari Kolej Profesional Mara itu berkata, beberapa bulan sebelum membuka kedai tersebut, mereka hanya membuat roti di bengkel karipap yang terletak di sebelah rumah sahaja.

Ujarnya, pada masa itu juga, dia bersama adik beradiknya sendiri yang membawa roti tersebut untuk dijual di sekitar kawasan kampung dan perumahan.

“Ketika itu, dalam tempoh PKP, kebanyakan orang hanya duduk di rumah dan ramai yang tercari-cari makanan ringan untuk dimakan. 

“Alhamdulillah, sambutan yang kami terima sangat baik sehingga dapat membuka kedai sendiri pada Disember tahun lalu.

“Kini, saya tidak lagi keluar membawa roti sebaliknya berada di kedai untuk menyediakan roti manakala yang ‘ronda’ menjual roti kini adalah ejen kami seramai lima orang di sekitar Perlis, Jitra dan Changlun, Kedah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kedainya di Taman Wang Seri, Arau di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Nur Fatihah berkata, antara produk yang dikeluarkan mereka adalah roti bun lembut, roti artisan, donut dan juga karipap yang dijual pada harga RM2 hingga RM5.

PRODUK pastri turut dikeluarkan oleh Roti Ronda di Taman Wang Seri, Arau, Perlis.- UTUSAN

Jelasnya, selain menyasarkan jualan di kawasan kampung dan perumahan, lokasi pengajian yang mempunyai banyak pelajar turut menjadi penyumbang kepada jualan syarikat.

Menurutnya, ada dalam kalangan ejen mereka boleh mencapai jualan sehingga RM5,000 sebulan dengan hanya menjual roti tersebut sekali gus membantu menambah pendapatan keluarga.

“Semasa kami mahu mencari ejen dahulu, kami memang memberi peluang kepada mereka yang kehilangan kerja dan punca pendapatan akibat PKP dan Covid-19. Jadi, mereka ini bekerja dengan sepenuh hati kerana perlu menyara kehidupan.

“Dalam masa sehari, jualan kami di kedai dan ejen mampu mencapai kira-kira RM1,000 menjadikan jumlah jualan sebulan kira-kira RM30,000,” ujarnya.

Tambahnya, pelan masa depan perniagaan mereka adalah membuka kiosk karipap stesen di sekitar negeri ini yang akan diuruskan oleh abangnya, Abdul Waffiy Rosli, 30, menggunakan resepi turun temurun ibunya.

“Kami ingin mengembalikan perniagaan karipap yang diusahakan oleh mak sebelum ini di stesen kereta api. Kiosk ini dijangka akan dibuka bermula pada bulan depan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya