PETALING JAYA: Program pembangunan usahawan asnaf dan B40 SME Bank iaitu Program Penjana Komuniti@SME Bank dan Program Ishraf yang secara keseluruhannya mempunyai 240 orang peserta berjaya mencatatkan hasil jualan sebanyak RM5.15 juta.
Kedua-dua program itu juga baru-baru ini telah menerima pengiktirafan peringkat antarabangsa daripada Association of Development Financing Institutions in Asia and the Pacific (ADFIAP).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, pengiktirafan peringkat antarabangsa itu menjadi pendorong pihaknya untuk terus berusaha menganjurkan program yang memberi nilai tambah untuk pembangunan sektor PKS negara terutama sewaktu fasa pemulihan ekonomi.
“Melalui program tanggungjawab korporat Program Penjana Komuniti@SME Bank, pihak bank memberi fokus untuk membantu usahawan tidak formal dan mikro terdiri daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal dan B40 untuk beralih ke peringkat lebih tinggi dan maju.
“Manakala Program Ishraf pula, untuk memajukan perniagaan golongan asnaf sedia ada dan meningkatkan taraf sosioekonomi daripada golongan penerima zakat ke pengeluar zakat,” katanya dalam kenyataan.
Ujarnya, keberhasilan Program Penjana Komuniti@SME Bank itu dapat dilihat apabila 137 orang peserta mencatatkan peningkatan jumlah pendapatan terkumpul sebanyak RM4.03 juta iaitu peningkatan 73.52 peratus.
Selain itu, jelasnya, 220 orang peserta lagi telah memiliki domain perniagaan .biz.my melalui Program Penjana Komuniti@SME Bank, 150 orang peserta berjaya melengkapkan laman sesawang perniagaan sepanjang program tersebut dilaksanakan dan 178 orang peserta pula telah beralih kepada sistem perakaunan digital.
Mengulas lanjut, Aria memberitahu, dengan dana sebanyak RM3 juta daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), seramai 220 orang peserta
Program Penjana Komuniti@SME Bank telah mengikuti kelas bimbingan pemasaran digital, e-dagang serta penulisan bagi pemasaran dalam talian.
“Peserta diperlukan melengkapkan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada tugasan yang diberikan dan mesti mendaftarkan syarikat dengan SSM jika belum berbuat demikian.
“Peserta yang memenuhi semua syarat kemudiannya menerima geran bernilai RM10,000 setiap seorang, menyertai kelas bimbingan perniagaan dan perkembangan perniagaan serta perbelanjaan wang geran dipantau agar mencapai petunjuk prestasi utama yang ditetapkan di awal program.
“Bagi Program ISHRAF pula, 20 orang peniaga asnaf dan B40 di bawah naungan Lembaga Zakat Selangor telah terpilih untuk mengikuti program pembangunan usahawan berstruktur dan diberi modal kerja untuk meningkatkan prestasi perniagaan masing-masing,” katanya.
Kedua-dua inisiatif SME Bank itu meraih dua Anugerah Merit bagi Projek Pembangunan Terbaik bagi Program Ishraf dan Projek Tanggungjawab Korporat Sosial Terbaik bagi Program Penjana Komuniti@SME Bank. – UTUSAN










