MRO: Pelaburan RM100 juta - Utusan Malaysia

MRO: Pelaburan RM100 juta

ISKANDAR Mizal Mahmood (kiri) dan Naib Presiden Serantau Asia ExecuJet MRO Services, Ivan Lim menunjukkan dokumen kerjasama antara MAHB dan ExecuJet di Subang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAHB, Dassault Aviation jalin kerjasama strategik,

PETALING JAYA: Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang menerusi Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) telah menjalankan kolaborasi strategik dengan anak syarikat Dassault Aviation, ExecuJet MRO Services (ExecuJet), untuk menempatkan pusat penyelenggaraan sehenti bersepadu pertama di negara untuk jet perniagaan.

Kerjasama tersebut akan menyaksikan Dassault Aviation melabur sehinga RM100 juta melalui ExecuJet untuk menubuhkan kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) baharu yang akan berkhidmat sebagai Pusat Kecemerlangan MRO Asia Dassault Aviation.

Ketua Pengarah MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, LTSAAS adalah salah satu pembangunan yang lebih matang di bawah kelompok Aeroangkasa dan Penerbangan bagi inisiatif Aeropolis Kumpulan.

“Matlamat utama Aeropolis adalah untuk mewujudkan ekosistem penerbangan yang boleh menarik perhatian pelabur asing secara terus oleh pengendali global.

“Pelaburan itu adalah petunjuk kukuh bahawa pemain penerbangan global yakin terhadap potensi Malaysia sebagai hab aeroangkasa dan penerbangan,” katanya semasa majlis pengumuman kerjasama strategik antara LTSAAS dan ExecuJet, semalam.

Tambah beliau, Malaysia kini sudah menjadi hab perniagaan yang digemari untuk perniagaan penerbangan dan MRO di Asia Pasifik dan dengan kemudahan bersepadu yang disediakan oleh ExecuJet itu, akan membantu menjadikan Malaysia sebagai hab penerbangan perniagaan yang diutamakan di rantau ini.

Iskandar Mizal berharap, dalam masa tiga atau lima tahun akan datang akan ada lebih banyak pesawat perniagaan serta ekosistem yang berkaitan menempatkan perniagaan dan operasi mereka di LTSAAS.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata, selain menarik pelaburan asing dan menyumbang kepada ekonomi negara, kemudahan baharu itu juga akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan tenaga kerja mahir dalam negara.

“Kami akan meningkatkan kemahiran bakat tempatan dengan pengetahuan teknikal dan keupayaan baharu,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Serantau Asia ExecuJet MRO Services, Ivan Lim berkata, sinergi yang menatap antara ExecuJet dan MAHB menjadikan pelaburan itu amat bermakna bagi pihaknya.

Ujarnya, setelah beroperasi di LTSAAS sejak 2009, ExecuJet Malaysia telah membina reputasi kukuh sebagai penyedia perkhidmatan jet perniagaan MRO bertaraf dunia yang menarik pelanggan di seluruh Asia.

“Sokongan yang kami terima daripada pelbagai agensi kerajaan telah memberi kami keyakinan bahawa kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk melatakkan Malaysia sebagai hab penerbangan aeroangkasa serantau.

“Di masa depan, kami berharap dapat menarik lebih banyak perniagaan ke LTSAAS sambil kami meningkatkan kapasiti dan keupayaan,” katanya.

Kemudahan baharu itu dijangka akan siap menjelang suku keempat 2023. Dengan keluasan 144,000 kaki persegi, ia mampu menempatkan sehingga 45 pesawat sebulan.

Kerjasama strategik itu akan menyaksikan MAHB menyewakan semula tanah seluas 186,000 kaki perseginya kepada ExecuJet untuk membina hangar MRO yang canggih untuk jet peribadi dengan ruang garaj, penyelenggaraan, bengkel dan pejabat korporat di LTSAAS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN