MBSB catat peningkatan hasil pada S3 kepada RM681.05 juta - Utusan Malaysia

MBSB catat peningkatan hasil pada S3 kepada RM681.05 juta

Menara MBSB Bank PJ Sentral. MBSB telah menjadi syarikat kelima di bawah kategori perkhid­matan kewangan memperolehi status patuh syariah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Building Society Berhad (MBSB) mencatatkan kerugian selepas cukai sebanyak RM104.58 juta pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2021.

Ia penurunan daripada keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM403.41 juta pada suku kedua berikutan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan Covid-19 yang ketat pada suku dilaporkan.

MBSB merekodkan kerugian pengubahsuaian tambahan sebanyak RM146.97 juta berbanding RM13.20 juta pada suku sebelumnya di mana anak syarikat utamanya, MBSB Bank Berhad meneruskan pemberian moratorium dan bantuan pembayaran balik di bawah pakej PEMULIH.

“Bagaimanapun, keuntungan bersih sembilan bulan Kumpulan melonjak kepada RM362.25 juta berbanding RM172.48 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas berikutan impak kerugian pengubahsuaian yang lebih rendah berbanding 2020.

“Kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM681.05 juta pada suku ketiga, peningkatan 2.42 peratus berbanding RM664.94 juta suku sebelumnya, disumbangkan oleh peningkatan dalam hasil berkaitan pembiayaan.

“Sementara itu, pendapatan setahun sehingga kini berjumlah RM2.03 bilion, susut 15.06 peratus daripada RM2.39 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas keputusan itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MBSB, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, Covid-19 telah menjejaskan banyak industri dan individu dengan ramai yang tidak dapat beroperasi dalam kapasiti optimum.

“Kerana itu, kami menyediakan moratorium lanjutan kepada pelanggan untuk memberikan mereka sedikit nafas kewangan,” katanya.

Sementara itu, jumlah aset Kumpulan susut 0.48 peratus atau RM242.82 juta kepada RM50.60 bilion daripada RM50.84 bilion pada suku kedua terutamanya disebabkan oleh penurunan dalam penempatan antara bank.

“Deposit Kumpulan susut sebanyak 5.67 peratus atau RM2.02 bilion kepada RM33.66 bilion pada suku tiga daripada RM35.68 bilion pada suku kedua 2021,” katanya.

Menurut Nor Azam, nisbah kewangan utama Kumpulan kekal kukuh dan berada dalam keperluan industri walaupun mengalami kerugian bersih bagi suku tersebut.

Beliau turut kongsi kesediaan MBSB untuk terus membantu pelanggan yang memerlukan sokongan kewangan.

“Kami mula menerima permohonan untuk Pengurusan Kewangan dan Ketahanan Program (URUS) sejak 15 November, dan kami amat menggalakkan mereka yang mencari sokongan kewangan untuk menghubungi kami atau memohon URUS di laman web kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN