PETALING JAYA: Proton Holdings Berhad (Proton) merekodkan jualan lebih tinggi pada Oktober, peningkatan 28.7 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Malah, pembuat kereta nasional itu juga telah melepasi jualan dalam tempoh sama tahun lalu.
Menurut Proton, dengan jualan sebanyak 13,362 unit, jualan terkumpulan setakat ini adalah 86,379 unit, penambahan 1.6 peratus daripada jualan 10 bulan pertama 2020 iaitu sebanyak 84,999 unit.
“Kejayaan ini bermakna, syarikat telah melangkaui prestasi jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi pasaran automotif tempatan, yang telah menurun sebanyak lebih kurang 4.7 peratus walaupun jualan melebihi 65,000 unit buat kali pertama pada Oktober 2021.
“Unjuran pegangan pasaran bagi bulan tersebut adalah sebanyak 20.5 peratus sementara pegangan pasarn bagi tempoh sam berbanding tahun lepas adalah 22.7 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Proton berkata, sebagaimana bulan-bulan sebelumnya, Saga terus menerajui pencapaian jualan apabila sebanyak 5,107 model itu dijual pada Oktober lalu, sekali gus kekal kekal sebagai peneraju jualan bagi sedan segmen-A.
Dua lagi model Proton yang turut merekodkan jualan tinggi ialah X50 dan X70, masing-masing sebanyak 3,839 dan 2,165 unit.
“Dengan hanya berbaki dua bulan tahun 2021, kedua-dua model X50 dan X70 berada di kedudukan selesa sebagai model jualan terbaik bagi segmen masing-masing dan membuktikan lagi bahawa citarasa pembeli telah beralih arah kepada model kenderaan utiliti sukan (SUV),” jelasnya.
Mengulas pencapaian itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, prestasi jualantersebut petanda permintaan yag tinggi daripada pelanggan.
“Permintaan pasaran dijangka kekal kuat menjelang akhir tahun, jadi kami akan berusaha dengan lebih gigih untuk memastikan tahun 2021 ditutup dengan kejayaan besar,” katanya.
Tambah Roslan, lanjutan pengecualian cukai perkhidmatan dan jualan (SST) sehingga 30 Jun depan sebagaimana diumumkan dalam Bajet 2022, telah memberi khabar gembira kepada pemain industri dan para pelanggan mereka.
“Bagi PROTON, ini bermakna pembeli yang sabar menunggu kenderaan baharu mereka tidak lagi perlu bimbang akan kehilangan insentif jika kenderaan mereka diserahkan pada tahun hadapan.
“Dengan pengecualian tersebut, ia memberikan kami peluang untuk menunaikan tempahan yang telah diterima
dan tidak memberikan kesan yang tidak adil pada pelanggan yang telah menunggu sekian lama akibat sesuatu yang luar dari kawalan mereka.
“Kami juga menjangkakan lanjutan tersebut akan meningkatkan jualan separuh tahun pertama tahun depan di mana kemungkinan banyak model akan diperkenalkan di pasaran,” katanya. – UTUSAN










