‘Depa mai waktu saya betul-betul sesak’ - Utusan Malaysia

‘Depa mai waktu saya betul-betul sesak’

AZIZ Ahmad yang dalam kesedihan, ditenangkan oleh kedua anaknya, Nurul Adila Aziz dan Ammar Haziq Aziz sewaktu menerima cek dari wakil MMBS Pulau Pinang, Mohd. Syalmizi Hamid, baru-baru ini. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: “Mereka mai (datang) ketika saya benar-benar sesak. Hanya tinggal RM100 dalam dompet untuk tunggu gaji minggu depan.”

Itu luahan pengawal keselamatan, Aziz Ahmad, 58, bapa tunggal yang kini tinggal bersama dua anak remajanya, Nurul Adila Aziz, 16, dan Ammar Haziq, 14, setelah kematian isteri, Sharifah Hashim, akibat kencing manis dua tahun lalu.

Malah, Aziz tidak dapat menahan air matanya apabila mengenangkan masa depan kedua-dua anaknya itu memandangkan mereka bertiga terpaksa hidup pindah-randah sejak awal tahun ini.

“Semuanya berlaku apabila saya berdepan masalah kewangan yang teruk sehingga  at kos rendah milik kami terpaksa dilelong oleh bank.

“Pernah kami mengusahakan gerai makanan di Sungai Ara dan tinggal sementara di Kampung halaman isteri di Kedah serta pulang semula ke sini selepas kematiannya.

“Sejak ketiadaannya, hidup saya seperti hilang arah selain anak-anak menjadi kekuatan. Kami pernah tinggal di bangsal, setor dan di inap desa pada Ramadan lalu sebelum dipindahkan ke sini ( flat di Jalan Tengah) Mei lalu,” katanya sebak
ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

MEMEE Abdul Aziz menerima replika cek sumbangan daripada wakil MMSB, Safina Ramli di kediamannya di Georgetown, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Berbeza nasib dengan Memee Abdul Aziz, 59, yang mengalami pengalaman perit apabila dua bulan hilang punca pendapatan selepas hotel tempatnya mencari rezeki ditutup pada Jun tahun lalu.

Memee, seorang ibu tunggal, terpaksa bertahan dengan menggunakan segala simpanan yang ada bagi meneruskan kehidupan seharian.

Nasib Memee baik selepas mendapat tawaran kerja sebagai penyambut tetamu pada Ogos tahun lalu di sebuah hotel bajet di pusat bandar dengan gaji RM500 sebulan. Malah, dia juga dapat menyewa bilik di situ dengan kadar RM300 sebulan.

Memee berkata, dia bersyukur kerana dalam usia yang menjangkau warga emas dia masih lagi diterima bekerja dan dapat memperoleh pendapatan sendiri tanpa menyusahkan anaknya, Mohd. Asri Abdullah, 30.

‘’Dahulu gaji bulanan saya sebelum hotel tempat saya bekerja ditutup sekitar RM2,500 dan kini boleh dikatakan pendapatan saya menyusut sehingga sekali ganda.

Namun saya tetap bersyukur kerana dalam tempoh pandemik ini, ada majikan yang baik dan mahu mengambil saya bekerja,” katanya.

Aziz dan Memee merupakan antara penerima bantuan Program Jelajah Ikhlas Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR), Era Foods MY dan Media Mulia Sdn. Bhd. (MMSB).

Program buat julung kali diadakan itu bertujuan membantu keluarga dalam golongan B40 yang terkesan berikutan pandemik Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN