Bank Islam rekod PBZT RM627.8 juta - Utusan Malaysia

Bank Islam rekod PBZT RM627.8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad merekodkan Keuntungan Sebelum Cukai dan Zakat Kumpulan (PBZT) sebanyak RM627.8 juta, peningkatan 19.3 peratus bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2021 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan tersebut sebahagian besar disumbangkan oleh peruntukan bersih lebih rendah bagi pembiayaan dan pendahuluan yang terjejas.

Peruntukan bersih yang dikenakan bagi pembiayaan dan pendahuluan terjejas bernilai RM79.6 juta bagi sembilan bulan tahun ini adalah RM132.7 juta, lebih rendah berbanding RM212.2 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Keputusan bagi tempoh tersebut mencerminkan kenaikan 17.71 sen EPS Kumpulan dan Pulangan Ekuiti Tahunan sebanyak 9.4 peratus selepas cukai dan zakat.

Lembaga Pengarah Bank Islam turut mengisytiharkan dividen interim satu peringkat berjumlah RM226.9 juta atau 10.93 sen setiap saham biasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, pandemik Covid-19 dan cabarannya terus memberi impak kepada semua sektor ekonomi namun risiko pada kestabilan kewangan masih terkawal dengan bank-bank telah menyediakan unjuran peruntukan yang berpatutan pada tahun kewangan 2020 dan risiko kredit telah ditetapkan secukupnya oleh pasaran.

Ujarnya, penganalisis juga telah mengekalkan sasaran pertumbuhan pembiayaan industri bagi tahun ini sebanyak 3.0 hingga 4.0 peratus setakat ini memandangkan jangkaan pemulihan dilihat positif terhadap permintaan pembiayaan bagi suku keempat 2021.

“Walaupun kadar purata pembiayaan susut tiga mata asas, margin keuntungan bersih dijangka menerima sedikit tekanan, dipengaruhi oleh persaingan sengit deposit dan ruang terhad perluasan pertumbuhan akaun simpanan dan semasa (CASA).

“Tahun 2022 akan menjadi tahun yang penting buat Malaysia, bukan sahaja daripada perspektif pemulihan ekonomi tetapi juga kebangkitan semula industri, kehidupan dan pekerjaan, khasnya kepada mereka yang paling terkesan disebabkan pandemik semasa,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, sebagai sebuah bank yang mendahulukan kemakmuran untuk semua dengan menyediakan penyelesaian yang memberikan nilai kepada pemegang taruh, Bank Islam kini sedang melaksanakan pelan perniagaan strategik lima tahun (LEAP25).

“Misi kami adalah untuk merancang masa depan kumpulan dalam menjadi peneraju penyelesaian pembiayaan lengkap Syariah-ESG dengan kepimpinan dalam perbankan
dan kewangan sosial,” ujarnya.

Bagi segmen operasi, Perbankan Pengguna melaporkan pendapatan bersih sebanyak RM910.1 juta bagi tempoh sembilan bulan ini, meningkat 15.5 peratus berbanding tahun lalu yang sebahagian besar disumbangkan oleh pendapatan berasaskan dana bersih yang lebih tinggi.

Selain itu, Bank Islam terus membantu dalam memelihara kesejahteraan sosioekonomi negara dengan menyokong penjanaan pendapatan dan ketahanan kewangan perniagaan milik asnaf dan B40 dalam mendepani kesan pandemik Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×