PETALING JAYA: Dengan kekangan kewangan dan peruntukan lebih yang perlu diberikan kepada sektor pendidikan dan kesihatan, Bajet 2022 boleh dianggap komprehensif untuk golongan berpendapatan rendah.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, golongan yang disasarkan melalui inisiatif bantuan tunai langsung serta kemudahan lain itu juga termasuk ‘B40 baharu’ yang mengalami penyusutan pendapatan akibat pandemik.
Kata beliau, belanjawan kali ini memberikan fokus yang bersasar kepada B40 melalui bantuan tunai langsung yang dijenamakan semula sebagai Bantuan Keluarga Malaysia (BKM); pembiayaan mudah bersasar, kebenaran oratorium dan pelbagai lagi bantuan pemulihan bersasar.
“Kekangan kewangan kerajaan juga harus diambil kira. Belanjawan kali ini agak besar dan peruntukan untuk sektor kesihatan serta pendidikan juga besar.
“Pelbagai bantuan dan pembiayaan mudah yang disediakan boleh dianggap komprehensif (untuk menangani penurunan pendapatan rakyat akibat pandemik),” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kira-kira 20 peratus atau 580,000 isi rumah dari kumpulan pendapatan M40 telah beralih kepada had pendapatan kumpulan B40.
Jelas beliau, kerajaan akan mengemas kini Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) tahun hadapan berdasarkan dapatan Kajian Pendapatan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES & BA) 2022.
Dalam pembentangan Bajet 2022 Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan pemberian BKM yang memperuntukkan bantuan tunai lebih tinggi berbanding Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sebelum ini.
Kata beliau, BKM diperkenalkan untuk menambah baik bantuan tunai langsung sedia ada dengan memberikan lebih tumpuan kepada rakyat yang terkesan.
Mengulas lanjut, Baharom berpendapat Bajet 2022 secara keseluruhannya dapat membantu golongan berpendapatan rendah untuk meningkatkan pendapatannya, selari dengan sasaran purata pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan yang diletakkan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Cukai kemakmuran juga dilihat agak adil dan saksama, yang mana mereka yang mendapat keuntungan besar berkongsi rezeki dengan menyumbang kembali demi kemakmuran bersama,” katanya. – UTUSAN ONLINE










