PETALING JAYA: Sun Life Malaysia, penyedia insurans hayat dan Takaful Keluarga telah melancarkan dana Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) berkaitan pelaburan dikenali sebagai Sun Life Malaysia Global Sustainable Fund.
Ia menjadikannya penyedia insurans pertama di Malaysia yang menawarkan pilihan pelaburan ESG kepada pemegang polisi menerusi produk insurans berkaitan pelaburan.
Mengulas pencapaian itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden/Ketua Negara bagi Sun Life Malaysia, Raymond Lew berkata, pembangunan mampan adalah amat penting bagi kejayaan jangka masa panjang Sun Life dan agenda kelestarian syarikat menumpukan kepada tiga bidang utama iaitu pelaburan lestari, keselamatan kewangan dan kehidupan yang lebih sihat.
“Di Sun Life, kami sentiasa berusaha untuk menunjukkan kepimpinan melalui teladan. Dengan dana baharu bertemakan ESG ini, kami mengambil peranan sebagai pelopor dalam menjadikan pelaburan ESG mudah diakses dan mampu milik bagi rakyat Malaysia melalui produk insurans berkaitan pelaburan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Lew, Sun Life berhasrat untuk membantu pelanggan mengubah pemikiran mereka iaitu melabur untuk pulangan pelaburan yang mampan.
Katanya, dengan memberikan pilihan tersebut, syarikat memperkasakan mereka untuk menyumbang ke arah pembentukan dunia yang lebih sihat, lebih mampan dari segi kewangan, dengan persekitaran yang sejahtera serta maju dari segi ekonomi.
Lew berkata, pelaburan ESG menawarkan penyelesaian sebenar kepada pelanggan untuk memenuhi matlamat perlindungan serta kepentingan etika dan moral mereka, serta pada masa yang sama, membuktikan ia satu pilihan pelaburan yang lebih berdaya tahan semasa krisis.
“Kami yakin pelaburan ESG akan menjadi kenyataan baharu. Dengan memanfaatkan peluang pelaburan mampan ini, kami membolehkan para pelanggan mengambil langkah positif ke arah keselamatan kewangan, merapatkan jurang perlindungan dan pada masa yang sama menyumbang terhadap ekonomi yang mampan.
“Kami berbangga untuk mempelopori dana ESG berkaitan-pelaburan pertama di Malaysia dan kami berharap dapat bersama-sama dengan lebih ramai lagi warga Malaysia yang sealiran dalam perjalanan ESG kami,” katanya. – UTUSAN










