SEREMBAN: Sime Darby Property Bhd. (Sime Darby Property) membelanjakan sebanyak RM250 juta bagi membangunkan Bandar Hamilton di Nilai dekat sini yang merupakan sebahagian daripada koridor pembangunan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) dan ia dijangka siap pada 2024.
Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, projek pembangunan dengan usaha sama kerajaan Negeri Sembilan itu membolehkan Bandar Hamilton menjadi pelengkap kepada kluster industri di bawah perancangan MVV 2.0 yang akan dibangunkan menerusi empat fasa berbeza.
“Bandar Hamilton ini mempunyai keluasan sebanyak 1,101 hektar. Bagi pembangunan fasa 1, 2 dan 4 akan difokuskan untuk aktiviti perindustrian sederhana dan berat manakala fasa 3 pula akan dibangunkan khusus untuk perindustrian ringan yang akan dilengkapkan dengan kilang berkembar dan separa kembar siap dibina berkonsepkan taman perindustrian terurus.
“Projek pembangunan ini telah bermula Jun lalu dan mengambil masa tiga tahun dan akan siap sepenuhnya pada 2024,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Pembangunan Bandar Hamilton, Nilai di sini, semalam.
Yang hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Datuk Dr. Razali Ab. Malik.
Bandar Hamilton merupakan taman perindustrian terurus yang memfokuskan kepada aktiviti perindustrian sederhana dan berat serta dibangunkan untuk meningkatkan kegiatan sosioekonomi di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Azmir berkata, siri pembangunan industri bercampur tersebut bersesuaian dengan keperluan berbeza mengikut jenis perniagaan serta mampu membangunkan komuniti berasaskan industri sekaligus dapat mewujudkan 740,000 penduduk yang menetap di kawasan sekitar Nilai.
Beliau menjelaskan, lokasi Bandar Hamilton strategik sebagai lokasi perusahaan atau pergudangan dan dilengkapi akses kepada infrastruktur penting selari jaringan lebuh raya bagi perniagaan yang mencari alternatif di luar Lembah Klang.
“Kami komited untuk terus mengangkat segmen industri dan logistik syarikat dengan memanfaatkan trend perdagangan global yang semakin beralih kepada pembelian atas talian.
“Bandar Hamilton menyediakan akses ke Lebuh Raya Utara-Selatan, Lebuh Raya Utara Selatan Lingkaran Tengah (ELITE) serta Lebuh Raya Nilai-Labu yang akan dibuka pada masa hadapan.
“Jaringan lebuhraya ini juga turut menghubungkan Bandar Hamilton dengan hab logistik utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pelabuhan Klang serta produk Sime Darby Property yang lain seperti Bandar Elmina, Bandar Bukit Raja dan Bandar Serenia,” katanya lagi.
Tambahnya, sehingga kini, Sime Darby Property telah berjaya merekodkan sebanyak 100 peratus tempahan bagi pelancaran produk pertama Bandar Hamilton.
“Kami juga telah menerima tempahan daripada negara Taiwan yang turut berminat. Bandar Hamilton ini merupakan lot industri bersaiz 0.4 hektar hingga 3.6 hektar yang merangkumi jualan sebanyak 42 lot perindustrian kepada syarikat tempatan dan juga antarabangsa,” katanya. – UTUSAN










